Sepadukan pangkalan data pemandu bas dengan data penguatkuasa, gesa pakar

Sepadukan pangkalan data pemandu bas dengan data penguatkuasa, gesa pakar

Wan Agyl Wan Hassan dari My Mobility Vision saran pangkalan data itu disepadukan dengan sistem demerit Kejara dan saman trafik.

bas ekspres
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook umum pangkalan data pemandu bas yang lengkap dengan rekod lampau akan dibangunkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pangkalan data untuk mengesan pemandu bas yang mempunyai rekod buruk, yang diumumkan oleh kementerian pengangkutan hari ini, tidak boleh berfungsi secara berasingan, menurut seorang perunding.

Wan Agyl Wan Hassan, pengasas badan pemikir pengangkutan My Mobility Vision, memuji pangkalan data itu sebagai langkah penting ke arah yang betul, terutama selepas tragedi baru-baru ini.

Bagaimanapun, ia perlu disepadukan dengan sistem demerit Kejara dan saman trafik supaya pemandu dengan kesalahan berisiko tinggi yang belum selesai secara automatik disekat daripada memperbaharui lesen atau dihantar untuk bekerja.

“Matlamatnya adalah untuk mengelakkan pemandu yang tidak selamat daripada berada memandu; bukan hanya menghukum selepas tragedi berlaku,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengumumkan Agensi Pengangkutan Awam Darat akan membangunkan pangkalan data pemandu bas ekspres dan persiaran yang lengkap dengan rekod lampau.

Ia bagi membolehkan syarikat bas menilai kelayakan serta latar belakang pemandu sebelum diambil bekerja, lapor Bernama.

Bagaimanapun, Wan Agyl menggesa kementerian menambah baik teknologi yang sudah berfungsi, mengatakan sektor industri logistik tertentu menggunakan platform pematuhan digital yang canggih, terutama yang berurusan dengan bahan berbahaya.

“Dalam sesetengah kes, platform itu sudah pun dihubungkan dengan data pihak penguatkuasaan. Daripada membangunkan sistem baharu, kita harus teroka bagaimana alat yang teruji ini boleh dikembangkan dan disesuaikan untuk kegunaan yang lebih luas meliputi bas, armada komersial dan pengendali berisiko tinggi lain,” kata bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat ini.

Selain disepadukan dengan Kejara dan sistem saman trafik, Wan Agyl mencadangkan platform itu dibangunkan secara bersama menerusi kerjasama awam-swasta.

“Ini akan menggandingkan agensi kerajaan, badan penguatkuasaan, dan pemain industri yang sudah mempunyai alat, data dan prasarana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.