Polis rampas dadah lebih RM4 juta ditinggal dalam SUV

Polis rampas dadah lebih RM4 juta ditinggal dalam SUV

Kereta terbabit ditinggalkan berhampiran loji rawatan air Taman Pulai Savanna, Gerik, kelmarin.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin menunjukkan dadah bernilai RM4.6 juta yang dirampas dalam sebuah kenderaan, kelmarin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merampas dadah dianggarkan bernilai RM4.6 juta yang ditinggalkan dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berhampiran loji rawatan air Taman Pulai Savanna, Gerik, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, berkata rampasan itu susulan maklumat awam dan pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota dari Balai Polis Gerik kira-kira 1 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 80 bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki methamphetamin seberat 82.8 kg serta 39 bungkusan mengandungi ketamin seberat 40.36kg.

“Dadah terbabit ditemui di dalam but belakang kenderaan itu dan nilai anggaran dadah yang dirampas adalah RM4.6 juta.

“Honda HRV yang digunakan itu dikenal pasti sebagai kenderaan klon di mana nombor enjin dan nombor casisnya didapati sudah diubah suai,” katanya pada sidang media di IPK Perak hari ini, menurut Harian Metro.

Beliau berkata, polis percaya kenderaan terbabit ditinggalkan kira-kira setengah jam sebelum polis tiba, berdasarkan keadaan enjin yang masih panas.

“Siasatan lanjut mendedahkan ia kemungkinan besar adalah kereta klon milik seorang jururawat di Serdang, Selangor.

“Tiada individu ditemui di dalam atau berhampiran kenderaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kini sedang mengesan individu yang terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.