Pemimpin DAP bidas wakil rakyat PAS gesa tangguh projek LRT P Pinang

Pemimpin DAP bidas wakil rakyat PAS gesa tangguh projek LRT P Pinang

Terdahulu Muhammad Fawwaz Mohamad Jan cadang projek LRT Pulau Pinang ditangguh dengan utamakan kerja naik taraf JRTB, lokasi nahas 15 penuntut UPSI maut.

Woo Kah Leong dakwa Muhammad Fawwaz Mohamad Jan gagal galas tanggungjawab wakil rakyat.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dibidas kerana menggesa projek LRT Mutiara ditangguhkan dengan mengaitkan kemalangan bas mengakibatkan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris maut di Gerik, Isnin lalu.

Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, berkata mana-mana parti politik tidak sepatutnya menjadikan tragedi itu sebagai modal politik susulan kematian banyak nyawa yang masih ditangisi keluarga masing-masing.

Katanya, semua pihak sepatutnya membincangkan langkah pencegahan pada masa depan dan usaha merancakkan penguatkuasaan.

“Adalah mengecewakan apabila pembangkang kini hanya berniat bermain politik ketika semua sedang berduka.

“Malah mengaitkan peruntukan LRT Pulau Pinang yang langsung tidak kena-mengena dalam hal ini, ini menunjukkan betapa teruk ahli politik itu dan gagal galas tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Woo mengulas kenyataan Fawwaz yang mencadangkan kerajaan menangguhkan projek LRT Pulau Pinang yang menelan kos RM17.3 bilion dengan mengutamakan kerja menaik taraf JRTB Gerik–Jeli.

Wakil rakyat PAS itu berkata, cadangan tersebut susulan nahas membabitkan penuntut UPSI di lokasi terbabit.

“Tangguhan projek LRT dan beri keutamaan kepada naik taraf jalan Gerik-Jeli itu yang lebih mendesak demi keselamatan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.