
Perkara itu dimaklumkan jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil dalam sidang media mingguan turut dihadiri Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.
“Bantuan tambahan RM10,000 kepada (mangsa) yang meninggal dunia, dan RM5,000 kepada yang cedera,” kata menteri komunikasi memaklumkan keputusan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir turut mengesahkan pelupusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mangsa maut dalam nahas tersebut.
Daripada 15 mangsa penuntut UPSI yang meninggal dunia, 13 dikenal pasti sebagai peminjam PTPTN.
Semua 13 penuntut tersebut mendapat manfaat penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman mereka melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok PTPTN.
Selain itu, 13 waris terbabit juga akan menerima khairat kematian berjumlah RM1,500 bagi setiap penuntut.
Fahmi berkata, Anwar turut mengarahkan Jabatan Peguam Negara meneliti aspek insurans bagi membantu keluarga mangsa.
Dalam kejadian itu, 15 penuntut maut selepas bas dinaiki mereka terlanggar sebuah Perodua Alza sebelum terbabas dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, dekat Tasik Banding.