
Hari ini sepatutnya prosiding tarikh tentatif untuk keputusan, tetapi dijadualkan semula untuk klarifikasi hujahan pada 23 Julai ini menerusi notis dikeluarkan Mahkamah Tinggi semalam.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif dipetik Harian Metro berkata, semua pihak sudah memfailkan hujahan balas dan pihak pendakwaan telah memfailkan hujahan utama setebal 266 muka surat serta hujahan balas terhadap peguam bela.
Pada 15 April lalu, pasukan pembelaan menutup kes mereka selepas memanggil 18 saksi memberi keterangan pada perbicaraan peringkat bela diri.
Semua 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun itu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Mereka dituduh bersama membunuh Nazmie Aizzat di bilik asrama KVLD pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Lapan daripada 13 tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Ram Singh serta Chen Wen Jye, manakala baki lima tertuduh diwakili peguam Abdul Ghani Zelika serta peguam lantikan Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.