
Perintah itu diputuskan selepas remaja berusia 14 tahun dari Matang, dekat Kuching, mengaku bersalah atas lapan pertuduhan dibacakan di tiga mahkamah itu iaitu di hadapan Majistret Ling Hui Chuan, Mason Jaro Lenya Barayan, dan Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Remaja itu juga diarahkan menjalani pengawasan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat selama setahun, selain ibu bapa dibenarkan melawatnya dua bulan sekali.
Pelajar berkenaan mengaku bersalah melakukan kesalahan itu terhadap lapan rakan berusia antara 13 dan 15 tahun di asrama sebuah sekolah di Matang antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada 2 Mei.
Susulan kejadian itu, semua mangsa mengalami kecederaan di anggota badan seperti melecur pada lengan, betis, buku lali, dan tengkuk, lapor Bernama.
Menurut fakta kes, remaja itu melakukan kesalahan jenayah dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan seterika panas dengan cara menekap badan mangsa yang merupakan rakan asrama ketika nyenyak tidur.
Kejadian turut disaksikan rakan asrama lain dan remaja itu melakukan hanya untuk suka-suka dengan niat untuk membuli mereka.
Remaja terbabit dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan seterika panas untuk menekap badan kesemua mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Nur Shafiqa Nyaie Ilin dan ASP Arman Ibrahim manakala remaja itu diwakili peguam Russel Lim dan Brandon Ling.