
Allahyarhamah Jamaliah Masron, 68, dari Kota Tinggi, Johor, menghembuskan nafas terakhir pada 6.05 petang waktu tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata jumlah keseluruhan kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci bagi musim Haji 1446H/2025M setakat ini ialah 11 orang.
“Pada masa sama, kerajaan Malaysia dan Lembaga Tabung Haji (TH) dukacita dengan berita itu. Pihak TH telah menguruskan segala keperluan berkaitan pengurusan jenazah termasuk mandi, solat jenazah di Masjidil Haram dan pengebumian di Tanah Suci Makkah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihak pengurusan TH turut memaklumkan perkara itu kepada waris Allahyarhamah di Malaysia.
“Kami ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarhamah dan mendoakan roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.”
Setakat ini, 10 jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Makkah disahkan berpunca daripada serangan jantung, manakala seorang lagi akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ.