
“Dari dulu itu prinsip saya. Kita mempunyai garis badan yang jelas bahawa soal politik harus kita ketepikan dalam pengendalian dan urusan organisasi, apatah lagi urus tadbir negara.
“Yang tiada, cuma cium mulut saja,” seloroh presiden Umno kepada pemberita selepas merasmikan ‘Women In Export Forum 2025’, sekali gus memberi gambaran hubungannya dengan Tengku Zafrul kekal baik.
Pada 30 Mei lalu, Tengku Zafrul yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri umum letak jawatan dalam Umno serta keluar parti, selain menyatakan hasrat menyertai PKR.
Terdahulu, Zahid ketika berucap turut mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkasa peranan usahawan wanita agar dapat menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Antaranya termasuk penubuhan ‘Women Export Incubator’, pusat sehenti yang menyediakan ekosistem sokongan bagi usahawan wanita yang ingin menembusi pasaran antarabangsa.
Katanya, inkubator itu perlu menawarkan khidmat mentor eksport, latihan pensijilan antarabangsa, ruang kerja bersama serta klinik perniagaan digital, terutamanya untuk menyantuni golongan wanita dari kawasan luar bandar dan kumpulan B40.
Selain itu, beliau berpendapat, Skim Dana Pemerkasaan Wanita Global perlu diselaras sebagai satu skim pembiayaan eksport yang dirangka khusus untuk membantu usahawan wanita berpotensi tinggi tetapi kurang akses kepada modal.
“Saya yakin Tengku Zafrul boleh bawa perkara itu ke peringkat kementerian untuk pelaksanaan memandangkan cadangan tersebut mempunyai asas yang kukuh,” katanya.