Singapura, pemangku Sultan Johor setuju tukar tanah di Holland Road

Singapura, pemangku Sultan Johor setuju tukar tanah di Holland Road

Kerajaan republik itu setuju pindah tanah milik kerajaan seluas 8.5 hektar kepada Tunku Mahkota Ismail yang nilainya setara.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menzahirkan hasrat untuk membangunkan tanah milik baginda di Singapura. (Gambar Bernama)
SINGAPURA:
Kerajaan Singapura dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail telah mencapai persetujuan melaksanakan pertukaran tanah di Holland Road.

Dalam kenyataan bersama, Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) memaklumkan Tunku Ismail akan memindahkan 13 hektar (ha) tanah milik baginda di kawasan berdekatan Tapak Warisan Dunia Unesco Taman Botani Singapura kepada kerajaan republik itu.

Sebagai pertukaran, kerajaan Singapura akan memindahkan 8.5ha tanah milik negara kepada Tunku Ismail.

“Tanah yang akan ditukar ganti adalah bernilai setara,” menurut kenyataan itu.

Tunku Ismail kini memiliki 21.1ha tanah di Holland Road yang telah berada di bawah pemilikan peribadi Keluarga Diraja Johor selama beberapa generasi.

SLA dan URA menyatakan Tunku Ismail merancang untuk membangunkan tanah milik baginda.

Kedua-dua pihak bersetuju menukar ganti tanah supaya pembangunan dirancang terletak lebih jauh dari Tapak Warisan Dunia Unesco itu.

“Pemangku Sultan Johor boleh membangunkan tanah milik baginda selepas pertukaran itu, yang sesuai untuk pembangunan kediaman bertingkat rendah dan berkapasiti rendah,” menurut kenyataan itu.

SLA dan URA menambah bahawa sebarang pelan pembangunan akan tertakluk kepada proses sewajarnya.

“URA dan agensi berkaitan akan menilai sebarang permohonan pembangunan dan memastikan pembangunan yang dicadangkan selaras dengan konteks persekitarannya,” menurut kenyataan itu.

Sebelum sebarang kerja dimulakan, kajian alam sekitar akan dijalankan bagi mengurangkan sebarang kesan terhadap alam sekitar.

Kerajaan Singapura akan mengekalkan tanah yang diterima daripada pertukaran itu tanpa pembangunan buat masa ini, namun terbuka kepada perancangan masa depan untuk kawasan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.