Perhimpunan Azam Baki: Amira dipanggil beri keterangan

Perhimpunan Azam Baki: Amira dipanggil beri keterangan

Pemangku presiden Muda berkata, kenyataannya akan dirakam di balai polis Dang Wangi pada 18 Jun.

Pada perhimpunan tuntut Azam Baki letak jawatan bulan lepas, Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz gesa kerajaan lebih telus dan tidak jadikan SPRM sebagai senjata.
PETALING JAYA:
Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz dipanggil ke balai polis Dang Wangi pada 18 Jun berhubung penglibatannya dalam perhimpunan menuntut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki letak jawatan, bulan lepas.

Amira berkata, kenyataannya akan dirakam bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, susulan arahan polis Papar, Sabah.

“Saya telah menerima panggilan untuk disoal siasat berkenaan Perhimpunan Azam Baki pada 24 Mei lepas,” katanya di platform media sosial, X.

“Saya tetap teguh dengan perjuangan membawa kebenaran dan keadilan. Selagi saya boleh buat, saya akan terus bergerak bersama perjuangan ini.”

Kira-kira 60 penunjuk perasaan berarak dari kompleks beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka untuk membantah pelanjutan penggal ketiga Azam sebagai ketua SPRM bulan lepas.

Perhimpunan malam itu antaranya disertai wakil NGO seperti Suaram dan Bersih, dan parti politik seperti Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pada perhimpunan itu, Amira menggesa lebih ketelusan daripada kerajaan dan agar agensi antirasuah tidak dijadikan senjata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.