
Penangguhan itu sementara menunggu pendengaran penuh permohonan Anwar pada 21 Julai ini.
Panel tiga hakim diketuai Supang Lian berkata, Anwar menunjukkan keadaan luar biasa untuk mewajarkan permohonan itu.
“Kami berpendapat di bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kami mempunyai kuasa mengeluarkan perintah ad-interim bagi memelihara integriti pernohonan penangguhan perayu (Anwar).
“Oleh itu, perbicaraan di Mahkamah Tinggi akan ditangguhkan sementara menunggu pelupusan permohonan penangguhan itu,” kata Supang.
Panel itu turut dianggotai Hakim Faizah Jamaludin dan Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Panel itu berkata, pihak-pihak tidak perlu bertukar-tukar keterangan saksi pada Jumaat ini seperti diarahkan Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain, minggu lalu berdasarkan keputusan hari ini.
Perbicaraan kes itu dijadualkan berlangsung di depan Roz Mawar selama tujuh hari antara 16 dan 25 Jun ini, selepas beliau menolak permohonan rujukan Anwar atas alasan tiada soalan dikemukakan berjaya melepasi ambang ditetapkan bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman.
Dalam penghakiman setebal 21 muka surat, beliau berkata, permohonan itu disalah anggap bidang kuasa mahkamah dan berdasarkan doktrin spekulatif tanpa asas Perlembagaan.
Anwar mahu mahkamah tertinggi itu memutuskan sama ada Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberinya kekebalan bersyarat daripada saman difailkan Yusoff empat tahun lalu.
Yusoff memfailkan saman berkaitan peristiwa didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik perdana menteri pada 24 Nov 2022.
Anwar memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan atas keengganan Ros Mawar merujuk lapan persoalan undang-undang yang timbul daripada saman itu ke Mahkamah Persekutuan untuk penentuan.
Beliau memohon penangguhan semua prosiding sementara menunggu rayuan itu selesai.
Yusoff, cucu kepada bekas presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris, mendakwa dia diserang di rumah Anwar di Segambut pada Oktober 2018.
Dia menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. Anwar menafikan dakwaan itu dan memfailkan saman balas.
Hari ini, peguam Alan Wong yang mewakili Anwar memberitahu panel hakim, rayuan terhadap keputusan Roz Mawar akan menjadi akademik jika penangguhan sementara itu tidak dibenarkan.
“Tiada prejudis terhadap plaintif jika perbicaraan digantung. Dia boleh diberikan pampasan jika plaintif berjaya membuktikan kesnya.”
Menurutnya, perbicaraan tujuh hari juga akan mengganggu dan membawa kemudaratan tidak dapat dipulihkan kepada fungsi eksekutif perdana menteri.
“Ini bukan saman biasa, tetapi saman bermotifkan politik.”
Peguam Rafique Rashid Ali berhujah rayuan ke atas soalan rujukan itu akan gagal kerana ia retorik dan tiada asas dalam perundangan Malaysia.
Katanya, defendan tahu tarikh perbicaraan kerana ia ditetapkan 6 Jun 2024.
“Tetapi, beliau memfailkan permohonan rujukan 23 hari sebelum perbicaraan bermula melalui peguam cara baharunya,” katanya sambil menambah anak guamnya perlu diberikan peluang mempertahankan diri di mahkamah kerana saman itu difailkan pada 2021.
Peguam Shahir Tahir, K Rajasegaran dan SM Kavyaasrini turut mewakili Anwar, manakala Nurmustanir Nor serta Amirul Ar-Rashid Azman mewakili Yusoff.