Kesatuan Melayu perlu untuk konsensus nasional lebih luas, kata pemimpin Bersatu

Kesatuan Melayu perlu untuk konsensus nasional lebih luas, kata pemimpin Bersatu

Ahli Parlimen Machang pertahan sokongan Bersatu terhadap 'Payung Melayu' Dr Mahathir Mohamad dan nafi lancar gerakan sayap kanan atau ultra-nasionalis.

MAHATHIR PC
Inisiatif ‘payung Melayu’ dilancarkan Dr Mahathir Mohamad, dengan sokongan pemimpin dari Bersatu dan PAS.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu mempertahankan sokongan parti itu terhadap cadangan ‘payung Melayu’ oleh Dr Mahathir Mohamad, menafikan dakwaan bahawa ia bercanggah dengan peralihan parti itu ke arah kedudukan politik yang lebih sederhana dan pertengahan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhujah bahawa sokongan terhadap inisiatif terbaru untuk menyatukan orang Melayu itu saling melengkapi, dan bukannya bercanggah dengan usaha parti untuk meraih sokongan bukan Melayu.

Ahli Parlimen Machang itu berkata kedua-duanya bukanlah sesuatu yang saling bertentangan, sebaliknya merupakan asas penting dalam membentuk kerjasama berbilang kaum yang berkekalan.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Malah, kesatuan Melayu adalah prasyarat untuk membina konsensus nasional yang lebih luas,” katanya kepada FMT.

Wan Fayhsal menolak dakwaan bahawa Perikatan Nasional (PN) sedang menjurus ke arah politik sayap kanan atau bersifat cauvinis, sambil berkata pendekatan mereka berteraskan kepada syariat Islam, iaitu memelihara keharmonian dan keamanan antara semua kaum.

“Kami bukan melancarkan gerakan pelampau kanan atau ultra-nasionalis. Kami hanya mahu orang Melayu sedar akan isu-isu jangka panjang yang akan menjejaskan mereka sekiranya terus berpecah,” katanya.

Katanya, mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk mentadbir negara mesti mendapat sokongan pengundi Melayu, di mana penyertaan dan kesedaran politik mereka masih kurang.

Komponen utama PN, PAS dan Bersatu, katanya, telah pun memperoleh sebahagian besar sokongan Melayu, tetapi ia masih belum mencukupi dan boleh ditingkatkan.

“Kita perlu membina konsensus mencukupi dalam kalangan orang Melayu terlebih dahulu, dalam kalangan ulama, guru-guru, orang kampung, sebelum melangkah ke tahap seterusnya,” katanya sambil menambah bahawa pendekatan ini telah digunakan sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada Rabu, Mahathir melancarkan ‘payung’ penyatuan Melayu baharu dengan sokongan PAS dan Bersatu; ia bertujuan memulihkan kuasa politik orang Melayu dan melindungi mereka daripada kemerosotan politik dan ekonomi.

Namun, tema inisiatif itu dilihat bercanggah dengan hala tuju Bersatu yang lebih sederhana dan pertengahan, apabila pemimpin seperti Timbalan Presiden Hamzah Zainudin baru-baru ini mencadangkan ‘konsensus nasional baharu’ yang melangkaui kaum dan agama.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali, berkata keputusan Bersatu menyokong ‘payung Melayu’ akan menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan parti itu dalam membawa perdamaian nasional.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia pula menyifatkannya sebagai retorik politik biasa, di mana ahli politik menggunakan nada dan tema yang hampir bercanggah apabila berucap kepada khalayak berbeza.

Namun, Wan Fayhsal berkata beliau percaya pakatan Mahathir itu adalah langkah ikhlas dan perlu demi kestabilan politik.

Katanya, kerajaan semasa berada dalam kedudukan yang tidak stabil. “Suka atau tidak, kerajaan hari ini berada dalam keadaan sangat lemah kerana (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) gagal meraih sokongan orang Melayu sehingga ke hari ini.

“Jadi selagi orang Melayu tidak menerima kerajaan ini, negara tidak akan stabil dari segi politik,” kata Wan Fayhsal yang juga bekas timbalan menteri perpaduan negara.

Wan Fayhsal berkata ‘payung Melayu’ itu juga boleh membangkitkan minat dan kesedaran politik dalam kalangan anak muda Melayu, dan ini merupakan strategi utama PN menjelang PRU akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.