
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata ia beroperasi mengikut prosedur ketat bagi memastikan semua aktiviti pengeluaran di fasiliti Johor tersebut adalah hanya untuk tujuan eksport.
“Sehingga kini, Ispire Malaysia hanya mengeluarkan produk perkakasan separa siap yang khusus untuk dieksport.
“Produk ini tidak mengandungi sebarang nikotin atau kanabis sama ada dalam bentuk cecair atau gel. Oleh itu ia tidak tertakluk kepada peraturan Kementerian Kesihatan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024,” katanya.
Ispire Malaysia juga berkata produk yang dikeluarkan di fasiliti Johor tidak dipasarkan, dijual, atau diedarkan di dalam negara, dan tidak boleh diakses oleh pengguna tempatan.
Kata syarikat itu, semua produk siap dihantar ke pasaran antarabangsa yang dikawal selia seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, di mana ia diluluskan untuk dijual oleh pihak berkuasa tempatan.
Syarikat itu menjelaskan bahawa rujukan yang dipetik dalam laporan baru-baru ini kebanyakannya diambil daripada laman web rasmi Ispire di AS, yang merujuk kepada operasi jualan perniagaan-ke-perniagaan di negara di mana kanabis dan produk berkaitan dibenarkan.
“Kenyataan ini tidak mencerminkan operasi sebenar Ispire Malaysia secara tepat yang mematuhi semua undang-undang dan rangka kerja kawal selia di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, badan pemikir kesihatan CodeBlue melaporkan Ispire mengeluarkan produk vape yang dikaitkan dengan nikotin dan kanabis, dan perantinya digunakan oleh pelanggan untuk mengisi kartrij dengan minyak kanabis di pasaran global.
Laporan itu memetik pembentangan kepada pelabur di Las Vegas pada April, yang dimuat naik di YouTube pada 6 Mei, menyatakan bahawa Ispire menghasilkan ‘terutamanya produk berkaitan kanabis’ di fasiliti pengeluarannya di Malaysia yang mempunyai sehingga tujuh baris pengeluaran.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan minggu lalu, mengesahkan bahawa kerajaan memberikan lesen pengeluaran nikotin sementara kepada Ispire untuk mengeluarkan rokok elektronik mengandungi nikotin di kilangnya di Johor, bersama kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Namun, CodeBlue menyatakan bahawa kenyataan kementerian pada 2 Jun itu tidak menyebut mengenai pengeluaran pengewap kanabis di kilang tersebut, yang dilaporkan bermula sejak Feb 2024.
Ispire Malaysia hari ini berkata sebarang pengeluaran produk berasaskan nikotin, jika dimulakan, akan khusus untuk eksport dan tertakluk kepada kelulusan rasmi daripada semua agensi kerajaan berkaitan di peringkat persekutuan dan mahupun negeri.
Semalam, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata Jemaah Menteri akan membuat keputusan mengenai masa depan operasi Ispire di Malaysia.