
Taylor, yang bersama BBC selama tiga dekad, berkata badan penyiaran itu pernah menganjurkan acara serupa di Seoul, Tokyo, Cape Town dan Lithuania.
Katanya, Malaysia yang kini mempengerusikan Asean – menonjol kerana keterbukaannya kepada perdebatan secara terbuka dan direkodkan, sesuatu yang tidak semua negara Asia Tenggara benarkan.
“Tidak semua negara di Asia Tenggara boleh melakukannya. Mereka tidak mempunyai kebebasan seperti kamu miliki di Malaysia, yang membenarkan debat terbuka sebegini berlangsung,” katanya dalam satu wawancara dengan FMT.
“Saya rasa, selepas bertemu ramai rakyat Malaysia dalam beberapa hari ini, mereka sangat berterus terang. Sukar hendak jumpa seseorang yang tanpa ada pendapat,” katanya.
Program World Questions oleh BBC, lanjutan global kepada program Question Time di UK, akan dirakam bersama penonton secara langsung jam 6 petang ini di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya.
Taylor berkata forum ini bertujuan memperkasakan suara rakyat tempatan untuk didengari penonton antarabangsa.
“Pada pemahaman saya, kebebasan di sini (Malaysia) telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan bukti kepada perkara itu ialah kami dialu-alukan mengadakan debat terbuka ini,” katanya.
“Perdana menteri (Anwar Ibrahim) berkata beliau mahu melihat Malaysia sebagai sebuah demokrasi yang matang. Demokrasi yang matang itu sedang berjalan, dan sebahagian besarnya adalah kebebasan bersuara serta keupayaan untuk menyuarakan kebenaran kepada pihak berkuasa,” tambahnya.
Katanya, format program ini membolehkan orang ramai mengemukakan soalan kepada panel terdiri daripada tokoh politik dan awam mengenai isu nasional dan antarabangsa.
Antara ahli panel malam ini ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh; penyelidik politik dari Universiti Nottingham Malaysia, Tricia Yeoh; Ahli Parlimen dari Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal (bekas timbalan menteri perpaduan negara), dan Ketua Program Pengajian Gender Universiti Malaya, Vilashini Somiah.
Forum itu akan dipengerusikan oleh wartawan veteran BBC, Jonny Dymond.
Taylor berkata kehadiran mereka bukan atas jemputan kerajaan, sebaliknya BBC sendiri memilih Malaysia kerana peranannya di rantau ini dan keterbukaannya terhadap wacana awam.
“Tiada siapa yang jemput kami. Kami yang rasa sudah sampai masanya,” katanya. “Kami buat 12 edisi program ini setahun, dan kami bergerak dari satu negara ke negara lain untuk dapatkan perspektif yang berbeza dari tempat berbeza.”
Taylor berkata, matlamat utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan mengemukakan persoalan mereka di platform global.
“Kami mahu buka satu jendela Malaysia supaya dunia boleh melihat dengan lebih mendalam.
“Kami sebenarnya tidak tentukan apa soalannya. Penonton tentukan sendiri,” katanya, sambil menambah soalan mungkin berkait sebarang topik yang beri kesan kepada negara termasuk rasuah dan tarif.
World Questions telah bersiaran sejak 2015, namun menurut Taylor, ia dibina daripada tradisi BBC yang telah wujud sejak 60 hingga 70 tahun lalu.
Beliau berkata landskap politik dan media Malaysia menjadikan masa ini paling sesuai untuk forum seperti ini diadakan.
“Kami mahu buka jendela kepada sebuah negara yang menarik dan kami mahu dengar rakyatnya membincangkan idea-idea di hadapan orang yang mempunyai pandangan berbeza.
“Kami harap dapat lihat perbezaan pendapat, bukannya perbalahan, dan mendengar pandangan orang lain dengan rasa hormat,” katanya.