Asean perlu tumpu pembangunan kemahiran, inovasi sektor kewangan, kata pengarah ACCA

Asean perlu tumpu pembangunan kemahiran, inovasi sektor kewangan, kata pengarah ACCA

Pengarah Asia Pasifik ACCA, Pulkit Abrol berkata itu dua faktor penting jika Asean mahu 'tukar cita-cita dasar kepada hasil praktikal'.

SME-PKS
Pelan Induk Komuniti Ekonomi Asean 2025 menunjukkan kemajuan ketara dalam bentuk pelaksanaan dalam bidang seperti pembangunan perusahaan kecil dan sederhana. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Asean perlu beri tumpuan kepada pembangunan kemahiran dan inovasi sektor kewangan bagi memanfaatkan kemajuan ketara dalam pelaksanaan pelan induk komuniti ekonomi blok itu, kata pengarah serantau sebuah badan akauntan profesional global.

Pulkit Abrol berkata inovasi dalam sektor kewangan, seperti penambahbaikan platform pembayaran digital dan penggunaan teknologi blockchain bagi keterkesanan rantaian bekalan serta pembangunan kemahiran adalah penting sekiranya Asean mahu ‘menukar cita-cita dasar kepada hasil praktikal’.

Pulkit Abrol
Pulkit Abrol.

Pengarah Asia Pasifik bagi Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) itu berkata inovasi sebegitu dalam sektor kewangan menjadikan ia lebih inklusif dan lebih bersedia menangani gangguan perdagangan global atau ancaman siber.

Abrol berkata terdapat keperluan pembangunan satu gabungan kemahiran teknikal, digital dan strategik termasuk penguasaan piawaian pelaporan yang sentiasa berubah, kefahaman terhadap analitik data, dan peningkatan kemahiran perniagaan serta komunikasi.

“Kemahiran dan inovasi dalam sektor kewangan meningkatkan daya saing keseluruhan Asean.

“Ia memudahkan perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk berkembang, menembusi pasaran rentas sempadan, dan menarik pelaburan,” katanya kepada FMT.

Beliau memberi contoh Singapura, yang menurutnya menjadi hab serantau hasil pelaburan dalam inovasi teknologi kewangan (fintech) dan kejelasan peraturan, sekali gus menarik firma antarabangsa dan meningkatkan sumbangan sektor kewangan kepada KDNK negara itu.

Vietnam pula katanya, banyak memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran tenaga kerja serta pendigitalan sistem cukai, audit dan pembayaran yang membantu melonjakkan produktiviti dan memformalkan aktiviti ekonomi.

“Usaha-usaha ini memperkukuh seluruh rantau dengan membina kepercayaan, membolehkan perdagangan dan memastikan Asean dilihat sebagai sebuah komuniti ekonomi yang berpandangan jauh di peringkat global.”

Bulan lalu, dilaporkan bahawa pelaksanaan Pelan Induk Komuniti Ekonomi Asean (AEC) 2025 menunjukkan kemajuan ketara dalam bidang seperti liberalisasi perdagangan; pemudahcara pelaburan; pembangunan PMKS; transformasi digital, dan inisiatif ekonomi mampan.

Abrol berkata ASEAN menunjukkan naluri yang baik dalam mewujudkan rangka kerja bersama dan penyelarasan peraturan.

Namun, beliau berkata inovasi peraturan yang mampan memerlukan pelaburan selari dalam mobiliti bakat dan kemahiran.

Katanya, ini termasuk pelaburan dalam pembangunan bakat dan mengurangkan halangan kepada pengiktirafan kelayakan rentas sempadan atau apa yang dirujuk sesetengah pihak sebagai ‘pasport kemahiran’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.