Peluasan SST perkukuh kedudukan fiskal negara, kata institut cukai

Peluasan SST perkukuh kedudukan fiskal negara, kata institut cukai

Penggunaan cukai tidak langsung tepat pada masa dan strategik tingkat hasil kerajaan tanpa perlu perkenal semula GST.

supermarket
Kerajaan umum peluasan cukai jualan dan cukai perkhidmatan dengan barangan keperluan asas tidak dikecualikan cukai.
KUALA LUMPUR:
Usaha kerajaan memperluaskan asas cukai dengan memasukkan lebih banyak sektor dalam rejim cukai jualan dan perkhidmatan (SST) selaras trend global dan mencerminkan pendekatan pragmatik terhadap kemampanan fiskal, menurut Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM).

Presiden Soh Lian Seng, berkata rasional di sebalik semakan dan peluasan SST adalah memperkukuh kedudukan fiskal negara bagi menyokong kesejahteraan rakyat dengan lebih baik dan menjadikan SST satu bentuk cukai lebih progresif dan bersasar.

“CTIM melihat langkah ini sebagai penggunaan cukai tidak langsung yang tepat pada masanya dan strategik untuk meningkatkan hasil kerajaan tanpa perlu mengenakan cukai langsung tambahan atau memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan mengumumkan kerajaan akan melaksanakan semakan kadar cukai jualan secara bersasar serta peluasan skop cukai perkhidmatan, berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Menurut Soh, institut itu akan terus menganalisis perintah-perintah warta secara terperinci dan memberi maklum balas sekiranya timbul sebarang percanggahan dengan perundangan atau amalan semasa.

Beliau berkata, CTIM komited membantu komuniti perniagaan dalam memahami inisiatif diperkenalkan kerajaan.

“Pada masa yang sama, kami akan mengemukakan cadangan penambahbaikan yang bersesuaian, dengan semangat kerjasama dan kepentingan nasional yang dikongsi bersama.

“Kejelasan melalui perintah warta dan pendekatan yang bersasar adalah sesuatu yang terpuji. Kami menggalakkan kesinambungan libat urus dan sokongan praktikal bagi membantu perniagaan menyesuaikan diri,” tambahnya.

Bagi memastikan peralihan yang lancar, CTIM mencadangkan agar kerajaan menubuhkan saluran sokongan khusus seperti talian hotline, e-mel, atau perbualan langsung yang dikendalikan oleh pegawai berpengetahuan bagi memberikan maklum balas tepat pada masanya dan meminimumkan risiko-risiko ketidakpatuhan.

“CTIM mengalu-alukan pengeluaran peraturan dan panduan peralihan untuk menyokong proses pelaksanaan. Walaupun langkah ini amat membantu, kami menjangkakan libat urus yang seterusnya dengan pihak berkuasa akan diperlukan untuk menangani isu-isu praktikal yang mungkin timbul,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.