
Syaza Shukri berkata bakal pengganti Hadi mungkin memerlukan sedikit masa mendapatkan sokongan menyeluruh ahli memandangkan karisma Ahli Parlimen Marang itu yang mengetuai PAS sejak 2003 susulan kematian Fadzil Noor.
“Saya percaya kalau Hadi diganti dengan orang kuat sendiri seperti Tuan Ibrahim Tuan Man atau Takiyuddin Hassan, tidak ada masalah dan mungkin dapat teruskan kestabilan parti. Terutama dengan sokongan Dewan Ulama dan Majlis Syura.
“Tetapi orang terbabit perlu masa untuk tingkatkan keyakinan terhadap pemimpin yang baru untuk mendapat legitimasi,” kata ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kepada FMT.
Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan Hadi didakwa membayangkan berundur daripada jawatan tersebut atas faktor kesihatan.
Difahamkan, beliau menyampaikan hasrat itu kepada barisan kepimpinan tertinggi dalam satu retreat parti di Terengganu, baru-baru ini.
Perkembangan itu menyusul pelbagai spekulasi berkait kedudukan presiden dan timbalan presiden PAS menjelang pemilihannya dijangka September depan.
Anggota Dewan Ulama PAS Pusat Mokhtar Senik mendakwa wujud desakan supaya Hadi melepaskan jawatan utama dalam parti namun perkara itu disangkal oleh pimpinan negeri.
Ketua Pemuda PAS Johor Ahmad Nawfal Mahfodz mendakwanya usaha dari pihak luar yang nampaknya tidak senang dengan prestasi PAS di bawah kepimpinan Hadi.
Felo Majlis Professor Negara Azmi Hassan pula berpandangan bahawa desakan itu bukan hanya daripada pihak luar yang mahu melihat parti terbabit lemah tetapi juga dari dalam kerana mahu melihat PAS lebih kuat.
Beliau tidak menafikan ada desas-desus atau ‘gerakan senyap-senyap’ untuk memberi isyarat bahawa Hadi perlu ditukar.
“Jadi sebab itu, golongan ulama mengatakan jawatan satu dan dua itu perlu diterajui oleh ulama.
“Tetapi tekanan saya lihat dari professional itu lebih mendesak pada ketika ini kerana PAS memerlukan perubahan,” katanya.
Azmi berkata walaupun ahli PAS wala’ dengan kepimpinan, namun mereka melihat perubahan perlu dilakukan dan tidak mahu dibuat secara paksa, tetapi sukarela.
“Sebab itu gerakan senyap senyap-senyap, ataupun untuk memberi isyarat secara tersirat (kepada Hadi) dan memang dikatakan agak terkesan. Sehingga timbul ura-ura bahawa nombor satu dan dua perlu diterajui oleh golongan ulama,” katanya