Nahas UPSI: Terengganu salur bantuan segera kepada waris mangsa

Nahas UPSI: Terengganu salur bantuan segera kepada waris mangsa

Bantuan termasuk dari segi kebajikan dan khidmat kaunseling, kata exco negeri Satiful Bahri Mamat.

kemalangan bas gerik
Seramai 15 penuntut UPSI terkorban dalam kemalangan membabitkan bas dinaiki mereka dari Terengganu dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Kerajaan Terengganu akan menyalurkan bantuan segera kepada waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri Satiful Bahri Mamat berkata, ini termasuk bantuan kebajikan dan khidmat kaunseling serta sokongan psikososial kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa.

“Saya telah mengarahkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menyelaras segala urusan dengan pihak universiti, hospital serta kerajaan persekutuan bagi memastikan setiap mangsa dan waris menerima bantuan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Satiful Bahri berkata, beliau mewakili kerajaan Terengganu merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita kepada semua keluarga mangsa tragedi itu, yang setakat ini difahamkan mengorbankan 15 pelajar, kebanyakannya berasal dari Terengganu, yang pulang ke kampus selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.

“Mereka pergi dalam keadaan yang amat mulia, kembali menuntut ilmu dalam perjalanan yang penuh niat suci. Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat keluarga, masyarakat dan negeri,” katanya.

“Kami menyeru seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia untuk sama-sama menadah tangan mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang yang soleh.”

Beliau turut mendoakan semoga mangsa yang cedera diberi kesembuhan segera dan ahli keluarga yang terlibat tabah menghadapi ujian ini.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan pagi tadi memaklumkan sekurang-kurangnya 15 maut dalam kemalangan itu.

Bas yang membawa pelajar UPSI itu difahamkan dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.