Nahas UPSI: Apad keluar surat tunjuk sebab kepada pengendali bas

Nahas UPSI: Apad keluar surat tunjuk sebab kepada pengendali bas

Menteri pengangkutan berkata, JPJ turut jalankan pemeriksaan dan audit keselamatan terhadap bas dan syarikat terbabit.

anthony loke
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil audit dan siasatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas yang terlibat dalam nahas jalan raya mengorbankan 15 penuntut universiti awal pagi tadi.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, tindakan itu diambil sejurus selepas kejadian itu sebagai sebahagian komitmen kerajaan untuk menjamin keselamatan penumpang dan mempertanggungjawabkan syarikat pengendali.

“Pada masa sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan ke atas bas serta syarikat terbabit mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715),” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Loke berkata, kedua-dua agensi sedang bekerjasama rapat untuk menentukan sama ada terdapat unsur kecuaian atau kegagalan mematuhi piawaian keselamatan.

Tindakan tegas akan diambil sejurus siasatan selesai, tambahnya.

Seramai 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut setelah bas dinaiki mereka terlanggar sebuah Perodua Alza sebelum terbabas dan terbalik di Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli, dekat Tasik Banding, awal pagi tadi.

Secara keseluruhan, 48 mangsa terlibat, terdiri daripada 42 penuntut UPSI, pemandu bas dan pembantunya, serta pasangan suami isteri bersama anak perempuan mereka berusia enam tahun dan anak lelaki berusia tiga tahun, yang menaiki Perodua Alza.

Terdahulu, syarikat pengendali bas itu, Kenari Utara berkata, kenderaan itu diselenggara bulan lepas, manakala pemandu bas yang dipinjam daripada syarikat lain itu seorang yang berhemah dan sudah arif laluan antara Gerik dan Jeli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.