MHIT produk pertama bawah sistem tetapan harga berasaskan diagnosis

MHIT produk pertama bawah sistem tetapan harga berasaskan diagnosis

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata ia luaskan pilihan pembiayaan sektor swasta dan gerak penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata sebanyak 78 klinik kesihatan telah menggunakan sistem pengurusan klinik berasaskan awan, dengan 90 lagi dijangka menyertai sistem itu menjelang akhir tahun ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pengenalan produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan asas (MHIT) oleh kerajaan merupakan langkah pertama dalam pelaksanaan berperingkat sistem penetapan harga berasaskan kumpulan diagnosis (DRG).

Bercakap pada pelancaran Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa APHM 2025, beliau berkata produk tersebut akan meluaskan pilihan pembiayaan sektor swasta dan menggerakkan penjagaan kesihatan swasta ke arah model penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

“Kita juga meneroka ekosistem pembiayaan kesihatan yang lebih pelbagai yang menggabungkan peruntukan berasaskan cukai, sumbangan sosial, skim berasaskan majikan dan subsidi bersasar di bawah kerangka progresif dan saksama,” katanya.

Pada Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan membangunkan produk MHIT susulan peningkatan kos rawatan perubatan.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha reformasi sektor kesihatan negara bagi memastikan akses kepada rawatan yang lebih mampan.

Dzulkefly berkata sistem penetapan harga DRG akan menjadi pemacu utama kepada penjagaan kesihatan berasaskan nilai, dengan peraturan yang lebih adil untuk mereka yang mempunyai penyakit sedia ada, sejajar dengan realiti negara yang semakin menua dan kadar penyakit tidak berjangkit yang tinggi.

“Kumpulan diagnosis ini memberi insentif kepada kecekapan.

“Kita menjangkakan ini akan mendorong inovasi dalam pembedahan rawatan harian dan pesakit luar, serta memperluas penggunaan teknologi kesihatan yang terbukti kos efektif dalam meningkatkan hasil kesihatan dan mengurangkan jumlah kos keseluruhan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata sebuah jawatankuasa bersama antara kementerian akan menyelaras inisiatif kesihatan di bawah GEAR-uP, yang akan menyaksikan enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melabur RM120 bilion dalam industri ‘pertumbuhan tinggi, nilai tinggi’ sepanjang tempoh lima tahun bagi merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.

“Langkah ini dijangka menarik lebih banyak pelaburan ke dalam sektor kesihatan, terutamanya melibatkan penyedia penjagaan kesihatan yang pelbagai, bukan terhad kepada hospital pakar pelbagai bidang yang besar,” katanya.

Dzulkefly turut memaklumkan bahawa sebanyak 78 klinik kesihatan telah menggunakan sistem pengurusan klinik berasaskan awan, dengan 90 lagi dijangka menyertai sistem itu menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata lebih 70% pesakit di klinik tersebut menerima rawatan dalam masa kurang 30 minit, 20% dalam tempoh 30 hingga 60 minit, dan 10% dalam masa 90 minit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.