Kongsi data telefon bukan perkara baharu, tak ceroboh peribadi, kata SKMM

Kongsi data telefon bukan perkara baharu, tak ceroboh peribadi, kata SKMM

Suruhanjaya itu berkata inisiatif itu sah dan penting untuk pembangunan negara, dengan tiada pilihan menolak oleh pengguna.

HANDPHONE MEN FREEPIK
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata berkongsi data telefon bimbit tanpa identiti itu menepati amalan terbaik dan piawaian antarabangsa yang ditetapkan. (Gambar Freepik)
CYBERJAYA:
Perkongsian data telefon bimbit (MPD) tanpa nama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bukan perkara baharu atau bersifat menceroboh, malah selaras dengan amalan platform teknologi global setiap hari, kata seorang ahli suruhanjaya.

Derek John Fernandez berkata langkah itu sejajar dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan menepati amalan terbaik antarabangsa berhubung penggunaan data bagi tujuan perancangan infrastruktur dan pembangunan negara.

“Perkara ini berlaku setiap hari jika anda melanggan Google, Facebook – malah mereka mempunyai lebih daripada itu.

“Kami lakukannya mengikut piawaian antarabangsa yang ditetapkan. Saya merujuk kepada laporan kelestarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, persidangan pakar, dan amalan global dalam perkara ini,” katanya pada satu taklimat media.

Beliau mengulas kebimbangan sama ada pengguna telefon bimbit boleh memilih untuk tidak menolak proses itu jika mereka tidak selesa dengan penggunaan data mereka.

Timbalan Pengarah Urusan SKMM, Zurkarnain Yasin, berkata tiada pilihan untuk enggan menyertai kerana langkah itu telah dipersetujui di peringkat tertinggi.

“Ia keputusan Kabinet. Apa yang kami lakukan adalah untuk pembangunan negara. Ini juga sebahagian daripada keperluan kawal selia yang kami arahkan kepada pengendali untuk dipatuhi,” katanya.

Zurkarnain turut berkata bahawa MPD tanpa nama yang dikumpul oleh Kementerian Komunikasi dan SKMM tidak diklasifikasikan sebagai data peribadi kerana data yang diterima daripada pengendali rangkaian mudah alih (Telco) tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti atau mengesan individu.

“Lapan set data yang dikumpulkan oleh Telco hanya merangkumi pengecam tanpa nama yang ditetapkan oleh pengendali, tarikh dan masa transaksi oleh pemancar, lokasi menara pemancar yang disambungkan kepada peranti, jenis rangkaian, dan pengenal pasti negara.”

Beliau turut memberi jaminan bahawa amalan ini mematuhi sepenuhnya undang-undang Malaysia dan piawaian antarabangsa.

Ketika ditanya mengapa orang awam tidak dimaklumkan secara langsung bahawa projek perkongsian MPD diteruskan meskipun sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dijalankan, Zurkarnain berkata proses itu telus di peringkat kerajaan.

“Jabatan Perangkaan apabila mendapat kelulusan Kabinet, telah menjalankan banyak libat urus media, diketuai oleh ketua perangkawan,” katanya.

Wakil Jabatan Perangkaan, Jamaliah Jaafar berkata projek itu telah dibincang dan dirancang secara menyeluruh bersama beberapa agensi utama.

“Kami mengadakan perbincangan mengenai projek ini bersama SKMM, pihak telco, dan Kementerian Pelancongan. Kami juga menyediakan kertas Kabinet yang telah diluluskan.

“Tahun lalu, kami mengadakan sesi dengan pihak telco untuk menjelaskan apa itu MPD, apakah manfaatnya, dan kenapa negara seperti Indonesia telah pun melaksanakannya,” katanya.

Semalam, syarikat telco mengesahkan komitmen mereka untuk melindungi data pelanggan berikutan perkongsian MPD untuk tujuan statistik rasmi.

Dalam kenyataan berasingan, CelcomDigi, U Mobile, Telekom Malaysia dan Maxis menegaskan bahawa hanya data tanpa nama — tanpa sebarang maklumat yang boleh dikenal pasti secara peribadi — akan dikongsi dengan SKMM.

Jumaat lalu, SKMM menjelaskan bahawa pengumpulan MPD daripada pengendali rangkaian mudah alih tidak melibatkan capaian, pemprosesan atau pendedahan sebarang maklumat yang boleh dikenal pasti secara peribadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.