Kes kematian Teoh NFA: Keluarga tak terus semakan kehakiman

Kes kematian Teoh NFA: Keluarga tak terus semakan kehakiman

Adiknya, Teoh Lee Lan berkata, semakin hakiman akan ambil masa lama, dengan peluang untuk menang tipis.

Teoh Lee Lan
Adik Teoh Beng Hock, Lee Lan berkata, keputusan untuk tidak terus semakan kehakiman dibuat selepas perbincangan dengan ahli keluarga dan peguam mereka, Ramkarpal Singh.
KUALA LUMPUR:
Keluarga Teoh Beng Hock memutuskan untuk tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang sekali lagi mengklasifikasikan kematiannya sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Adiknya, Lee Lan berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan ahli keluarga dan peguam mereka, Ramkarpal Singh.

“Semakan kehakiman akan ambil masa tiga tahun untuk selesai. Peluang menang juga tipis kerana ia akan menjadi semakan kehakiman pertama dikemukakan dalam kes jenayah,” katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Minggu lepas, Jabatan Peguam Negara mendapati bukti tidak mencukupi untuk mengenakan tuduhan susulan siasatan semula oleh polis diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November tahun lepas, yang turut mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA.

Lee Lan sebelum ini menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan itu dan meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunaikan janji menegakkan keadilan dalam kes abangnya.

Teoh ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas berjam-jam disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam inkues yang dijalankan berhubung kematiannya, koroner membuat keputusan terbuka, iaitu Teoh bukan bunuh diri mahupun dibunuh.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan oleh ‘satu atau lebih individu tidak diketahui’, termasuk pegawai SPRM.

Pada 2019, polis melancarkan siasatan bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan berhubung pengurungan salah.

Sebelum 2018, dua pasukan siasatan khas telah ditubuhkan – pada 2011 dan 2015 – untuk menyiasat kematian Teoh, tetapi kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai NFA oleh pendakwa raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.