Isu syarikat AS keluarkan vape berkait kanabis diputus Kabinet, kata Dzulkefly

Isu syarikat AS keluarkan vape berkait kanabis diputus Kabinet, kata Dzulkefly

Menteri kesihatan berkata beberapa kementerian dan agensi kerajaan akan terlibat dalam proses membuat keputusan.

Ispire Technology Inc factory
Menurut pembentangan pelabur di Las Vegas pada April, Ispire Technology Inc mengeluarkan ‘produk berkaitan kanabis’ di kemudahan pembuatannya di Malaysia. (Gambar LinkedIn)
KUALA LUMPUR:
Nasib sebuah pengeluar vape berpangkalan di Amerika Syarikat yang menghasilkan produk berkaitan kanabis di Malaysia akan diputuskan oleh Jemaah Menteri, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata isu melibatkan Ispire Technology Inc memerlukan pandangan daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan.

“Saya perlu membentangkannya kepada Kabinet. Dari situ, kita akan membuat pendirian.

“Beberapa pihak terlibat dalam isu ini seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,” katanya dalam sidang media selepas Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa APHM 2025.

Kumpulan pemikir kesihatan, CodeBlue sebelum ini melaporkan bahawa Ispire, yang menghasilkan produk vape nikotin dan ganja, menyatakan peranti keluarannya digunakan oleh pelanggan untuk mengisi kartrij dengan minyak ganja di pasaran global.

Menurut pembentangan kepada pelabur di Las Vegas pada April yang disiarkan di YouTube pada 6 Mei, Ispire menghasilkan ‘terutamanya produk berkaitan ganja’ di kemudahannya di Malaysia, yang mempunyai sehingga tujuh barisan pengeluaran.

Dalam kenyataan minggu lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan kerajaan memberikan lesen interim pembuatan nikotin kepada Ispire untuk menghasilkan rokok elektronik mengandungi nikotin di kilangnya di Johor, bersama kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Namun begitu, CodeBlue menyatakan kenyataan kementerian bertarikh 2 Jun itu tidak menyebut mengenai pengeluaran alat wap ganja di kilang tersebut yang dilaporkan bermula sejak Februari 2024.

Pada 5 Jun, Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Ahmad Yunus Hairi menggesa siasatan polis terhadap operasi kilang vape tersebut.

Semakan yuran konsultasi pengamal perubatan am

Dalam perkembangan berasingan, Dzulkefly berkata kementeriannya telah mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Kos Sara Hidup Negara untuk menyelesaikan isu lama berhubung semakan yuran konsultasi pengamal perubatan am (GP).

“Jawatankuasa meminta supaya perkara ini dibawa ke jawatankuasa eksekutif yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

“Tiada tarikh tetap untuk perbincangan, tetapi ia akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Semalam, Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia (MPCAM) memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak menyahkawalselia yuran perundingan GP tanpa menetapkan kadar minimum.

Presiden MPCAM, Dr Soo Tai Kang, berkata langkah sedemikian akan membawa kepada persaingan tidak sihat dalam industri, terutamanya di kawasan bandar di mana 80% klinik GP beroperasi dan banyak bergantung kepada pesakit panel.

Soo berkata MPCAM menyokong penetapan yuran perundingan antara RM50 dan RM80, dengan semakan setiap tiga tahun.

Pada 5 Jun, Persatuan Perubatan Malaysia juga menggesa kerajaan meluluskan kenaikan yuran perundingan GP yang telah lama tertangguh, memberi amaran bahawa kelewatan itu mengancam kelangsungan klinik penjagaan primer di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pada 3 Mei bahawa perkara itu akan diselesaikan ‘dalam tempoh satu bulan’, dan memorandum dan pekeliling Kabinet telah disediakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.