Bas jelas dipandu laju, polis terima ‘bukti penting’ nahas

Bas jelas dipandu laju, polis terima ‘bukti penting’ nahas

Rakaman kamera papan pemuka yang tular telah diserahkan pemilik kepada pihak berkuasa bagi penelitian.

kemalangan bas gerik
Rakaman kamera papan pemuka tular papar bas dikatakan berkait nahas dipandu laju, lalu terbalik melanggar penghadang jalan.
PETALING JAYA:
Rakaman kamera papan pemuka yang didakwa melibatkan nahas maut mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris memaparkan bas dipandu laju sehingga terbabas merempuh penghadang jalan.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Noordin, berkata pemilik rakaman itu sudah tampil menyerahkan ‘bukti penting’ berkenaan untuk diteliti pegawai penyiasat.

“Ya, setakat ini rakaman ‘dashcam’ telah diserahkan. Kami serahkan kepada pegawai penyiasat untuk meneliti rakaman tersebut dan kenyataan daripada pemilik akan diambil,” katanya menurut Harian Metro di di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Beliau berkata, rakaman tersebut boleh membantu menjelaskan beberapa perkara penting termasuk kelajuan bas dan keadaan jalan semasa kejadian.

“Setakat ini hanya rakaman dashcam yang kita ada. Rakaman itu jelas menunjukkan bagaimana bas tersebut dipandu laju, dan lebih memburukkan keadaan, penghadang jalan menembusi badan bas dari bahagian depan,” katanya.

Hisam berkata, kejadian berkenaan menyebabkan penumpang di sebelah kiri bas antara yang maut memandangkan penghadang terus menusuk ke tempat duduk penumpang.

“Kebanyakan mangsa yang cedera mengalami kecederaan di bahu kiri selepas tercampak dari bahagian kanan ke kiri apabila bas terbalik,” katanya.

Dalam rakaman tular berdurasi 38 saat, bas dikatakan itu dipandu laju dan cuba memotong sebuah kereta sebelum terbabas lalu melanggar bahagian belakang Perodua Alza.

Apabila ditanya mengenai dakwaan beberapa mangsa yang terselamat bahawa bas dipandu laju dan terdapat bau hangit, Hisam berkata, polis juga akan mengambil kenyataan mereka.

Hisam turut memaklumkan bahawa beliau sendiri telah melawat lokasi kejadian dan berdasarkan pemerhatiannya, jalan di situ sememangnya curam dan kejadian berlaku sekitar tengah malam selepas hujan, dengan keadaan jalan yang gelap dan sukar dilihat.

“Berdasarkan pemerhatian awal saya, tiada garisan jalan yang kelihatan dan kawasan itu sangat gelap tanpa sebarang penanda.

“Kami masih menyiasat sama ada punca kemalangan adalah akibat kecuaian manusia atau masalah teknikal. Semua sudut akan diteliti kerana ini adalah kemalangan yang sangat serius.”

Terdahulu, dilaporkan 15 pelajar UPSI terbunuh dalam nahas sebuah bas pelajar dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat (Jalan Raya Timur Barat) awal pagi ini.

Bas itu membawa 42 pelajar terdiri daripada lapan lelaki dan 32 perempuan berusia lingkungan 21 hingga 23 tahun yang berasal dari Pantai Timur, menuju ke kampus utama UPSI.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.