
Jelasnya, ia tidak pernah melantik mana-mana individu, syarikat luar atau entiti perniagaan untuk mempromosi, mengurus atau menerima bayaran bagi pihak TH Travel untuk sebarang pakej haji atau umrah.
Menurutnya, sebagai agensi pelancongan haji dan umrah berdaftar dan dikawal selia sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Haji (TH), semua bayaran berkaitan pendaftaran serta deposit pakej haji dikendalikan TH Travel hanya boleh dibuat melalui akaun rasmi TH.
“TH Travel tidak menawarkan pakej subsidi atau tajaan luar yang memerlukan jemaah membayar kepada akaun bukan rasmi atau individu.
“TH Travel tidak terlibat dalam sebarang bentuk kutipan dana melalui syarikat pembersihan, perniagaan kek atau perantaraan pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
TH Travel memandang serius penyalahgunaan nama dan reputasi syarikat itu untuk menipu umat Islam berniat menunaikan ibadah haji.
“Kami difahamkan laporan polis telah dibuat serta siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa dan TH Travel bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dalam menangani kes ini.”