
Dalam perlawanan sengit selama 87 minit di Istora Senayan, pasangan pilihan keempat dunia itu akhirnya terpaksa tunduk 25-23, 12-21, 19-21.
Pearly-Thinaah berjaya bangkit daripada ketinggalan 8-14 pada set pembukaan untuk meraih kemenangan 25-23 namun dominasi lawan pada dua set berikutnya menyaksikan pasangan negara gagal mengekalkan rentak.
Kini berada pada kedudukan keempat dunia dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Pearly-Thinaah beberapa kali cuba mendahului permainan namun pasangan China itu berjaya mengekalkan kelebihan sehingga ke penghujung.
Selepas perlawanan, Pearly menjelaskan, masih banyak ruang yang perlu dipelajari dan diperbaik untuk meningkatkan prestasi terutamanya penetapan minda (mindset) meskipun telah bermain dengan semangat tinggi.
“Kami sebenarnya berada pada kedudukan yang baik, sepatutnya boleh tamatkan perlawanan dengan kelebihan. Tapi di penghujung, mungkin kami agak hilang fokus sedikit,” katanya.
“Sebenarnya, dari awal permainan lagi kami sudah rasa penat, tapi kami saling ingatkan sesama sendiri untuk terus bertahan, sebab ini perlawanan terakhir. Kami hanya mahu beri segalanya yang kami ada di atas gelanggang,” tambah Pearly.
Sementara itu, Thinaah berkata, mereka akan menggunakan masa lapang bulan ini untuk berehat sepenuhnya dan memulihkan tenaga kerana tiada kejohanan besar yang akan disertai dalam tempoh terdekat.
Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah sekali lagi bergelar naib juara di Jakarta selepas turut mara ke pentas akhir Indonesia Masters awal tahun ini.
Prestasi konsisten itu bagaimanapun mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara pencabar utama dalam acara beregu wanita pada peringkat dunia.