Sentiasa kemas kini maklumat, KPT ingatkan pelajar Malaysia di Universiti Harvard

Sentiasa kemas kini maklumat, KPT ingatkan pelajar Malaysia di Universiti Harvard

KPT keluar peringatan susulan perkembangan terbaru berhubung permohonan Harvard halang rancangan pentadbiran Donald Trump sekat pelajar asing.

Sehingga kini, terdapat seramai 54 pelajar Malaysia di Universiti Harvard, terdiri daripada 16 pelajar tajaan dan 38 pelajar pembiayaan sendiri. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengingatkan pelajar Malaysia di Universiti Harvard agar sentiasa mengemas kini maklumat berkaitan Latihan Praktikal Pilihan (OPT) serta berhati-hati dalam setiap tindakan melibatkan urusan imigresen.

Peringatan itu susulan perkembangan terbaru bahawa Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) membenarkan permohonan Harvard untuk menghalang rancangan pentadbiran Donald Trump mengecualikan pelajar asing daripada memasuki universiti itu.

“Keputusan ini membolehkan pelajar antarabangsa termasuk pelajar Malaysia meneruskan pengajian mereka tanpa gangguan kepada status visa buat masa ini,” kata KPT dalam kenyataan.

“Buat masa ini, tiada pelajar Malaysia dilaporkan mengalami masalah atau isu berkaitan rekod Sistem Pelajar dan Pertukaran Pelawat dan penarikan semula visa mereka.”

Pada 24 Mei, perintah injunksi sementara dikeluarkan oleh Hakim Allison D Burroughs itu menghalang kerajaan daripada melarang universiti itu untuk terus menerima pelajar antarabangsa melalui satu program khas persekutuan.

Dalam saman itu, Harvard mendakwa pentadbiran Trump cuba memberi tekanan ke atas institusi itu melalui tindakan balas yang didakwa tidak sah.

KPT berkata, pihaknya akan memantau rapat perkembangan isu ini melalui Pejabat Education Malaysia Washington DC.

Sehingga kini, terdapat seramai 54 pelajar Malaysia di Universiti Harvard, terdiri daripada 16 pelajar tajaan dan 38 pelajar pembiayaan sendiri.

Sementara itu, KPT menyarankan pelajar baharu yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard bagi kemasukan September untuk berhubung terus dengan pihak universiti dan penaja masing-masing untuk perkembangan terkini.

“Penegasan Malaysia terhadap Nilai Pendidikan Global Malaysia percaya bahawa pendidikan tinggi merentas sempadan adalah landasan penting kepada pembangunan bakat global, pertukaran ilmu dan kerjasama strategik antara negara.

“KPT juga menyeru agar semua pihak kekal tenang, bertindak berdasarkan maklumat sahih, dan memberi keutamaan kepada kepentingan pelajar dalam menghadapi isu ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.