
Lim, yang juga Adun Air Putih, berkata video palsu itu kononnya menunjukkan beliau menyokong skim pelaburan.
Beliau berkata video itu adalah palsu dan dijana menggunakan AI.
“Saya mahu jelaskan, saya tidak pernah meminta sesiapa untuk melabur dalam apa-apa. Saya bukan terlibat dalam perniagaan, saya dalam politik,” katanya pada satu majlis di Air Putih hari ini.
Video yang dimanipulasi itu dipercayai berdasarkan wawancara bersama Lim lebih sedekad lalu. Rakaman asal dalam bahasa Inggeris, tetapi versi palsu dalam bahasa Mandarin.
“Itu sahaja sudah memberi petunjuk,” kata Lim, sambil menyatakan bahawa penceramah lain dalam video itu, pengarah eksekutif Penang Institute Ooi Kee Beng, tidak bercakap Mandarin.
“Mereka mengambil klip lama, mengubahnya supaya kelihatan baharu, dan menukar bahasa.”
Lim berkata perkara itu telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Beliau menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai mesej atau video pelaburan yang tersebar di platform seperti WhatsApp.
Lim berkata kes ini menekankan keperluan mendesak untuk pendidikan awam mengenai deepfake dan penipuan dalam talian yang dijana AI.