Penganalisis persoal keikhlasan Bersatu berubah lebih sederhana

Penganalisis persoal keikhlasan Bersatu berubah lebih sederhana

Seorang penganalisis berkata ini contoh tipikal bahasa berlapik politik, di mana pemimpin guna nada dan tema hampir bertentangan ketika bercakap dengan khalayak berbeza.

Pemimpin Bersatu seperti Hamzah Zainudin dan Saifuddin Abdullah dilihat mengetengahkan pandangan serta tindakan ‘agak sederhana’ kebelakangan ini.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis mempersoalkan keikhlasan Bersatu berubah lebih sederhana dan pertengahan (centrist), selepas menyokong usaha terbaharu Dr Mahathir Mohamad mengembalikan kuasa politik orang Melayu.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan pemimpin lain seperti Saifuddin Abdullah mengetengahkan pandangan serta tindakan “agak sederhana” kebelakangan ini, selepas Hamzah dipilih sebagai timbalan presiden Bersatu akhir tahun lalu.

Ini termasuk visi Hamzah berhubung “konsensus nasional baharu” yang tidak boleh terhad kepada satu kaum atau agama bagi merapatkan jurang perpecahan politik dan sosial di Malaysia.

Mazlan berkata, perubahan ketara Bersatu ini tepat memandangkan persekitaran berbilang kaum di Malaysia dan ia berpotensi mengancam Pakatan Harapan, yang meraih sebahagian besar sokongan bukan Melayu dalam PRU beberapa tahun ini.

Tetapi, menurutnya, pengundi bukan Melayu akan menjauhkan diri dan tidak menyokong Perikatan Nasional (PN) selepas memberi sokongan kepada platform baharu Mahathir.

“Kini, orang ramai akan mempersoalkan sama ada Bersatu ikhlas membawa perdamaian nasional,” katanya kepada FMT.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, menjadi kebiasaan untuk ahli politik menggunakan nada dan tema hampir bertentangan ketika bercakap dengan khalayak berbeza.

Disebabkan PN dan Bersatu tidak mampu mengorbankan sokongan teras pengundi Melayu-Islam, beliau berkata, mereka akan menyokong usaha baharu Mahathir untuk menyatukan masyarakat Melayu.

“Bagi khalayak di Singapura, lebih-lebih lagi badan pemikir bereputasi seperti Institut ISEAS-Yusof Ishak di mana Wan Saiful Wan Jan dari Bersatu menjadi felo pelawat pada 2016, kami menjangkakan perwakilan PN bercakap dalam bahasa separa liberal, bahkan dalam bahasa Inggeris, yang menjadikannya kurang mudah difahami orang kampung Melayu.

“Tetapi, bagi khalayak berorientasikan Melayu, PN tidak mahu mengorbankan sokongan terasnya dan akan terus menyokong inisiatif tokoh dihormati seperti Mahathir, walaupun timbul percanggahan.”

Katanya, ini tidak berbeza dengan DAP, yang mempunyai pemimpin tertentu menyentuh sentimen Cina, manakala yang lain mungkin lebih berpendidikan Barat mengambil nada lebih pertengahan dalam retorik mereka.

“Jadi, ini hanyalah ciri bahasa berlapik ahli politik yang didorong identiti.”

Pada 22 Mei lalu, Hamzah dalam forum di Institut ISEAS-Yusof Ishak membentangkan visi PN berhubung “konsensus nasional baharu” bagi “menyatukan kelas politik, suara keagamaan, masyarakat sivil dan rakyat”.

Rakan separtinya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah turut menggesa parti politik beralih ke arah pendekatan pertengahan dan mengelakkan ideologi politik ekstrem disebabkan masyarakat berbilang kaum Malaysia.

Saifuddin berkata, kesederhanaan menjadi teras ideologi baharu Bersatu berasaskan nilai inklusiviti, demokrasi, kesederhanaan, integriti dan belas kasihan, sambil menambah ia mencerminkan komitmen parti itu berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia.

Fauzi berkata, pemimpin Bersatu mempunyai lebih daripada satu aliran pemikiran yang memacu ideologi mereka, menyifatkan individu seperti Saifuddin dan Wan Saiful lebih inklusif dengan “kemampuan berbahasa Inggeris”.

Sebaliknya, beliau berkata, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan pihak sealiran dengan bekas perdana menteri itu lebih cenderung kepada politik berpaksikan etnik serta agama.

“Hamzah, sebagai calon utama bakal menggantikan Muhyiddin menerajui PN dan Bersatu, berada di kedua-dua laluan kerana sedar PN ketika ini tidak mampu kehilangan mana-mana aliran pemikiran. PN perlu tampil inklusif tanpa mengasingkan sokongan akar umbi Melayu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.