
Dalam kenyataannya hari ini, beliau menyelar pihak berkuasa yang menurutnya, tidak berani bertanggungjawab atas kesilapan sendiri, sebaliknya menuding jari kepada pihak lain.
“Aku tak nampak mana-mana pihak kerajaan yang berani ambil tanggung jawab atas kesilapan korang yang menyebabkan hak kebebasan bergerak aku disekat,” katanya.
“Korang senang sahaja cakap tiada sekatan rasmi, tapi realitinya aku tetap kena sekat semalam. Aku tetap tak dapat ke luar negara dan dinafikan hak aku sebagai rakyat.”
Beliau berkata, kerajaan dan pihak berkuasa akan segera mengambil tindakan sekiranya rakyat melakukan kesalahan, namun kali ini giliran rakyat untuk ‘heret pihak berkuasa ke mahkamah’.
“Kerajaan dan pihak berkuasa bukan kebal. Rakyat tak patut takut pada kerajaan, kerajaan yang patut takut pada rakyat.
“Korang selalu suruh aku ‘gunakan saluran yang betul’, kan? Okay, kita jumpa di mahkamah,” katanya.
Semalam, Fahmi mendakwa beliau dihalang menaiki penerbangan ke Singapura di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dimaklumkan oleh pegawai imigresen bahawa beliau telah disenarai hitam
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara (KPN) Razarudin Husain hari ini menjelaskan, kekeliruan dalam proses semakan di pintu keluar negara menyebabkan arahan sekatan pergerakan tidak tepat dikeluarkan ke atas Fahmi.
Katanya, tiada sebarang sekatan dikenakan terhadap Fahmi ketika ini, tetapi namanya ada dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman polis susulan siasatan polis yang masih berjalan.
Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan timbalan ketua polis negara meneliti larangan keluar negara ke atas Fahmi.
“Pihak polis perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini,” menurut kenyataan itu, sambil menambah perkembangan perkara itu akan terus dipantau.