DAP tuntut peguam negara jelas ‘keterangan tak cukup’ kes Teoh Beng Hock

DAP tuntut peguam negara jelas ‘keterangan tak cukup’ kes Teoh Beng Hock

DAP berkata ia konsisten dalam gesaannya untuk tindakan diambil terhadap pihak bertanggungjawab atas kematian Teoh Beng Hock.

LOKE SIEW FOOK Gobind singh deo
Loke Siew Fook dan Gobind Singh Deo menggesa peguam negara menyemak semula keputusan mengklasifikasikan siasatan ke atas kematian Teoh Beng Hock pada 2009 sebagai tiada tindakan lanjut.
PETALING JAYA:
DAP menggesa Peguam Negara, Dusuki Mokhtar menjelaskan secara terperinci mengapa beliau berpendapat keterangan tidak mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu atas kesalahan jenayah membabitkan kematian bekas setiausaha politik, Teoh Beng Hock.

Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook turut menggesa Dusuki menyemak semula keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan siasatan ke atas kematian Teoh pada 2009 sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Peguam negara, dan tiada orang lain, mempunyai budi bicara untuk mendakwa di bawah Perlembagaan Persekutuan,” kata Gobind dan Loke dalam kenyataan bersama.

“Beliau perlu menjelaskan mengapa tidak dapat berbuat demikian dalam kes ini, khasnya berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan dan prosiding sivil di Mahkamah Tinggi.”

Mereka berkata, DAP konsisten dalam gesaannya supaya tindakan diambil terhadap pihak bertanggungjawab atas kematian Teoh.

Kenyataan itu menyusul surat bertarikh 30 Mei lalu daripada Dusuki kepada peguam keluarga itu, Ramkarpal Singh, yang mahu penjelasan terhadap keputusan AGC mengklasifikasikan kes itu NFA.

Dusuki dalam surat itu berkata, keterangan sedia ada tidak mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu atas kematian Teoh.

Teoh meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas disoal siasat selama berjam-jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Bulan lalu, polis memaklumkan keluarga Teoh bahawa siasatan terbaharu mereka ke atas kes itu diklasifikasikan AGC sebagai NFA.

Pada 21 Nov 2024, Mahkamah Tinggi mengarahkan polis melengkapkan siasatan mereka yang lama tertangguh atas kematian Teoh.

Koroner dalam inkues kematian Teoh pada 2011 membuat keputusan terbuka, tetapi Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematiannya disebabkan tindakan menyalahi undang-undang oleh “seorang atau beberapa individu tidak dikenali”, termasuk pegawai SPRM.

Pada 2019, polis melancarkan siasatan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana kurungan salah.

Sebelum 2018, dua pasukan penyiasat khas ditubuhkan pada 2011 dan 2015 untuk meneliti kes itu, tetapi kedua-duanya diklasifikasikan NFA oleh pendakwa raya.

Gobind dan Loke berkata, DAP membantu keluarga Teoh dalam saman sivil yang menyebabkan kerajaan serta SPRM mengakui liabiliti atas kecuaian membawa kepada kematian Teoh. Mahkamah kemudian mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi RM600,000 dan kos RM60,000 kepada keluarga mendiang.

Mereka berkata, keputusan Mahkamah Rayuan dan mahkamah sivil menjadi asas untuk polis menjalankan siasatan lanjut dalam usaha mencari penjenayah di sebalik kematian Teoh.

“Walaupun tugas menyiasat dan mengenal pasti pihak bertanggungjawab dalam kes ini ialah pihak polis, namun terpulang kepada peguam negara untuk memutuskan langkah seterusnya berdasarkan siasatan polis.

Menyedari keluarga Teoh sedang mempertimbangkan untuk mencabar NFA di mahkamah melalui semakan kehakiman, Gobind dan Loke berkata, mereka menyokong tindakan itu.

“Kami turut menyeru peguam negara menyemak keputusannya dan meneruskan pendakwaan terhadap pihak bertanggungjawab atas kematian Teoh Beng Hock tanpa berlengah lagi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.