
Menteri komunikasi berkata, SKMM dan telco bersetuju tiada maklumat serta data peribadi individu akan diserahkan.
“Data tidak akan diserahkan dalam bentuk yang mengandungi data individu (personally identify information), ini keputusan yang dibuat bersama syarikat telco dan SKMM serta melibatkan agensi seperti DOSM.
“Tujuannya untuk pengumpulan data bagi DOSM ambil statistik rasmi, perkara ini adalah keputusan Kabinet,” katanya selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Perpaduan Umno Lembah Pantai di sini.
Jumaat lalu, SKMM mempertahankan arahannya mewajibkan telco menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit dari Januari hingga Mac lepas.
Ia memberi jaminan tiada maklumat peribadi yang akan diakses, diproses atau didedahkannya.
Kenyataan itu menyusul laporan South China Morning Post memetik sumber industri sebagai berkata, Putrajaya mengarahkan telco menyerahkan rekod terperinci panggilan telefon dan penggunaan internet sebagai sebahagian peluasan kawalan aktiviti dalam talian.
Fahmi berkata, data rasmi dikeluarkan DOSM akan mengandungi maklumat lebih terperinci tahap mutu perkhidmatan setiap telco, jumlah pengguna di setiap mukim atau kawasan.
“Sekarang ini banyak maklumat dari sektor telco masih bersifat terlalu umum.
“Jadi, kita nak pastikan data dapat dikumpul DOSM nanti lebih banyak perancangan, dasar, dapatan berasaskan bukti dan membawa kebaikan kepada rakyat.”