Penduduk bantah projek kondo mahu jaminan keselamatan

Penduduk bantah projek kondo mahu jaminan keselamatan

Menurut AJK JMB Empire Residence, pembinaan kondominium di atas cerun mengimbau tragedi Highland Towers.

Penghuni Empire Residence mahukan jaminan keselamatan daripada ahli politik, pemaju dan pihak yang berkaitan berhubung pembinaan kondominium.
PETALING JAYA:
Sekumpulan penghuni rumah teres di Damansara Perdana risau apabila memikirkan kondominium setinggi 21 tingkat akan dibina berhampiran kediaman mereka.

Menurut penduduk, kondominium tersebut dibina di atas cerun, sekaligus mengimbau tragedi tanah runtuh Highland Towers pada 1993 apabila sebuah blok tumbang akibat tanah runtuh.

Simon Ng.

“Kami bukan anti pembangunan tetapi bina kondominium atas cerun curam? Adakah nyawa kami ini tiada nilai?” kata Simon Ng, ahli jawatankuasa dalam badan pengurusan bersama (JMB) Empire Residence, kepada FMT.

FMT diberitahu bahawa penduduk ada menyampaikan kebimbangan berhubung pembinaan kondominium itu kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dalam satu taklimat mengenai projek lain pada 3 Jun lalu.

Sinar Harian yang membuat liputan ke atas pertemuan itu melaporkan ‘ketegangan memuncak’ apabila lebih 100 pemilik kediaman Empire Residence membantah keras cadangan pembangunan tiga blok pangsapuri yang dirancang dibina atas cerun kelas IV.

Joshua Tan.

Joshua Tan, seorang lagi AJK JMB, berkata penduduk mahu pihak terlibat melaksanakan kajian yang lebih terperinci, dan beri jaminan keselamatan.

Ini kerana beliau mendapati akan berlaku gelongsoran lumpur apabila hujan maka khuatir ada gangguan struktur tanah melibatkan pembinaan di situ.

“Jadi kepada ahli politik, pemaju dan pihak yang berkaitan anda beritahu saya adakah ia akan bertambah baik atau semakin teruk? Boleh bagi kami jaminan?” katanya.

Sementara itu, Simon beritahu penduduk sudah menghantar lebih 130 surat kepada MBPJ bagi membantah pembinaan kondominium itu.

Beliau mempersoalkan bagaimana projek itu boleh diberi kelulusan, mendakwa Jabatan Perancangan Bandar dan Desa mengklasifikasikan kawasan tersebut sebagai kawasan berisiko dengan 23% tanah berstatus cerun kelas IV dan 64.8% kelas III.

FMT sedang mendapatkan respons Adun dan pemaju yang terpamer pada papan tanda projek kondominium tersebut.

Ahli majlis MBPJ, Suriase Gengiah, ketika dihubungi berkata taklimat pada 3 Jun itu hanya melibatkan projek jalan dan beliau tidak membincangkan aspek-aspek lain pembangunan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.