
Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang bertindak sebagai peguam keluarga Teoh itu menegaskan, dakwaan peguam negara bahawa ‘keterangan tidak mencukupi’ tidak banyak meredakan kebimbangan berlarutan keluarga itu mengenai kualiti dan ketelitian siasatan.
“Amat mengecewakan apabila peguam negara membuat kesimpulan keterangan tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan susulan surat bertarikh 30 Mei daripada Dusuki bertujuan menjelaskan rasional kes itu diklasifikasikan sebagai NFA.
“(Beliau) seharusnya mendedahkan butiran lanjut mengenai hasil siasatannya, terutamanya berhubung persoalan mengapa ‘keterangan tidak mencukupi’.
“Kenyataan umum sedemikian sama sekali tidak dapat meredakan kebimbangan sebenar keluarga (Teoh) bahawa siasatan tersebut tidak dijalankan dengan betul dan profesional.”
Teoh ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas berjam-jam disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Susulan inkues, koroner mengeluarkan keputusan terbuka, iaitu Teoh bukan bunuh diri mahupun dibunuh.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan oleh ‘satu atau lebih individu tidak diketahui’, termasuk pegawai SPRM.
Pada 2019, polis melancarkan siasatan bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan berhubung pengurungan salah.
Sebelum 2018, dua pasukan siasatan khas telah ditubuhkan – pada 2011 dan 2015 – untuk menyiasat kematian Teoh, tetapi kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai NFA oleh pendakwa raya.
Menurut Ramkarpal, justifikasi peguam negara seolah-olah bersandarkan aspek teknikal – penemuan Mahkamah Rayuan adalah berdasarkan standard sivil, bukan jenayah – amat tidak memuaskan selepas siasatan dijalankan selama lebih sedekad.
Beliau mengesahkan bahawa keluarga Teoh sedang mempertimbangkan semakan kehakiman terhadap keputusan peguam negara dan akan mengumumkan langkah seterusnya dalam masa terdekat.
Keluarga Teoh telah sekian lama menuntut akauntabiliti dan menyuarakan rasa hampa terhadap kelewatan yang berulang kali serta ketiadaan penyelesaian dalam kes tersebut.