
Hajiji yang juga ketua menteri berkata, bagi mempersiapkan jentera menghadapi PRN, GRS telah menganjurkan beberapa siri kursus di setiap kawasan dan DUN sebagai usaha memantapkan gerak kerja pada peringkat akar umbi.
“Apa yang jelas, GRS sudah bersedia. Kita telah menubuhkan jentera pilihan raya dan mengadakan beberapa siri kursus untuk menghadapi pilihan raya.
“Bagaimanapun, soal pembahagian kerusi masih belum dibincangkan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan ibadah korban peringkat IPD Tuaran hari ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Joniston Bangkuai serta Ketua Polis Tuaran Noraidin Ag Maidin.
Penggal lima tahun DUN Sabah dijadual terbubar secara automatik pada 11 Nov ini, selepas bermula pada persidangan pertama dan pembukaan rasmi DUN Sabah yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin pada 12 Nov 2020, selepas PRN16.
Pembubaran itu akan membuka laluan kepada PRN17 diadakan.
Mengulas mengenai kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN akan datang, Hajiji berkata, GRS terbuka untuk berbincang dengan pimpinan gabungan itu.
“Kali terakhir saya bertemu Pengerusi BN (Zahid Hamidi) sebelum bulan puasa. Ada beberapa perkara politik yang dibincangkan, namun setakat ini belum ada perbincangan lanjut mengenai kerjasama dan sebagainya.
“Tiada masalah untuk kita berjumpa. Saya amat menghormati semua rakan-rakan, terutama pengerusi BN. Kita amat terbuka dalam hal ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, sebagai pengerusi GRS, segala perkara melibatkan parti, termasuk kerjasama menghadapi PRN17, perlu dibincangkan terlebih dahulu bersama ahli Majlis Tertinggi sebelum dimuktamadkan.