
Aktivis hak kerakyatan Wong Kueng Hui berkata, Fahmi dilarang keluar negara atas arahan Bukit Aman tanpa sebarang justifikasi jelas.
Menurut Wong, penyelaras NGO Mandiri, Fahmi bukan penjenayah, sebaliknya ‘hanya seorang rakyat yang menggunakan karya seni sebagai medium melawan penindasan, menyuarakan suara rakyat, dan mengkritik elit kuasa secara aman’.
“Mandiri menyatakan solidariti penuh terhadap Fahmi dan menuntut kerajaan Madani dan polis tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung sebab dan justifikasi di sebalik sekatan ini, (dan) membatalkan segera sekatan terhadap Fahmi dan menjamin hak rakyat untuk bergerak bebas seperti mana dijamin oleh undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Wong, warga Sabah yang sebelum ini tiada kerakyatan namun akhirnya memperoleh MyKad pada 2023 selepas 16 tahun memohon, kini aktif memperjuangkan hak individu tanpa kerakyatan.
Awal hari ini, Fahmi berkata, beliau dihalang menaiki penerbangan ke Singapura sebelum dimaklumkan telah disenarai hitam. Katanya, beliau dimaklumkan oleh pegawai imigresen bahawa polis menghalangnya daripada meninggalkan negara.
Susulan itu, Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong turut mengkritik larangan perjalanan itu, yang menurutnya tidak boleh diterima dan akan mencemarkan nama baik kerajaan Madani.
Sebelum ini, Fahmi yang terkenal dengan karya satira dan lantang mengkritik tokoh politik dilapor tidak dibenarkan masuk ke Sabah pada 29 Mei.
Awal tahun ini, beliau ditahan polis Sabah bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung salah satu karyanya yang didakwa menghina institusi diraja.