Pecat staf propembangkang, GLC P Pinang diarah bayar hampir RM120,000

Pecat staf propembangkang, GLC P Pinang diarah bayar hampir RM120,000

Mahkamah Perusahaan ingatkan Penang Tech Centre Bhd bahawa agensi itu dimiliki kerajaan negeri, bukan parti politik.

Sivakumar Kanniah (right) and Jason Raj Kirupanantha
Mahkamah Perusahaan memerintahkan tindakan Penang Tech Centre Bhd memecat Sivakumar Kanniah (kanan) dan Jason Raj Kirupanantha (kiri) tanpa sebab munasabah.
GEORGE TOWN:
Pusat sains berkaitan kerajaan Pulau Pinang diperintah membayar RM117,560 kepada dua kakitangan yang dipecat kerana menyokong calon bebas pada PRN 2023.

Mahkamah Perusahaan memutuskan Penang Tech Centre Bhd, yang mengendalikan Tech Dome Penang, telah memecat Sivakumar Kanniah, 48, dan Jason Raj Kirupanantha, 38, tanpa sebab munasabah.

Terletak di kubah geodesik Komtar dan dilancarkan pada 2016 dengan kos RM23.2 juta, Tech Dome mempamerkan pameran sains dan teknologi interaktif untuk memberi inspirasi kepada pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik.

Sivakumar, kakitangan perintis dinaikkan pangkat menjadi pengurus operasi dengan gaji bulanan RM5,200, telah dianugerahkan bayaran tunggakan RM92,560 untuk tempoh dua tahun, ditolak pendapatan diperoleh selepas pemecatannya pada 15 Nov 2023.

Jason, penyelaras kanan hal ehwal kerajaan, dianugerahkan RM25,000 atas penamatan awal kontraknya, yang sepatutnya berjalan sehingga 31 Mac 2024. Beliau telah diberhentikan pada 9 Nov.

Kedua-dua menuntut diambil semula bekerja dan ganti rugi tambahan, namun ditolak mahkamah atas alasan tiada niat jahat daripada pihak syarikat dan berlaku keretakan kepercayaan.

Tech Dome mendakwa mereka khianat kepercayaan kerana berkempen untuk calon bebas yang sehaluan dengan bekas timbalan ketua menteri II, P Ramasamy, selain dituduh tidak setia kerana menentang kerajaan negeri pimpinan DAP.

Menurutnya, sebagai syarikat milik kerajaan, agensi itu mesti kekal neutral dan kakitangan tidak sepatutnya menyokong calon lawan.

Semasa perbicaraan, pengurus kewangan dan sumber manusia, Emily Seah, berkata 80% daripada pendapatan Penang Tech daripada sumbangan orang ramai, termasuk Ahli Parlimen kerajaan dan Adun.

Ditanya bagaimana menyokong calon bebas menjejaskan syarikat, beliau menjawab: “Sesetengah YB mungkin berasa tidak selesa kerana kempen itu menentang kerajaan negeri.”

Namun, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Jeyaseelen Anthony mendapati tiada larangan tertentu ditemui dalam kontrak pekerjaan kedua-duanya atau dalam kod etika syarikat melarang penglibatan aktiviti politik.

Katanya, walaupun kedua-dua lelaki berkenaan memegang jawatan penting, penglibatan mereka dalam politik tidak boleh dianggap salah laku.

Sivakumar dituduh menunjukkan ‘ketidaksetiaan dan kurang integriti’ apabila mengaitkan nama syarikat kepada seorang calon bebas serta memuat naik mesej berunsur politik di Facebook. Syarikat mendakwa, beliau telah diberi amaran sebelum ini, namun mengulangi perbuatan tersebut.

Mahkamah mendapati tiada keterangan bahawa sebarang amaran diberikan, sama ada secara lisan atau bertulis, atau siasatan dalaman sebelum pemecatan.

Dalam kes Jason, mahkamah mendapati beliau memohon cuti lima hari bermula 31 Julai hingga 4 Ogos 2023, untuk berkempen. Permohonan cuti berkenaan telah diluluskan ketua pegawai eksekutif, menjurus kelemahan dakwaan salah laku.

Perbualan dalam WhatsApp antara Ketua Pegawai Eksekutif Khoo Boo Wooi dengan Jason, yang dikemuka sebagai bukti, turut menyokong perihal itu. Khoo menulis: “TDP (Tech Dome Penang) adalah pusat sains, bukan tempat untuk berpolitik (sic) KO (knock out) dengan mudah.”

Jeyaseelen juga maklum DUN telah dibubarkan pada masa itu, dan Pulau Pinang ditadbir oleh kerajaan sementara.

“Responden adalah sebuah syarikat milik kerajaan negeri dan bukan milik mana-mana parti politik,” katanya.

Beliau menolak hujah syarikat kedua-dua lelaki itu telah melanggar peraturan tidak bertulis mengenai kesetiaan, dengan menyatakan syarat sedemikian mesti dinyatakan jelas dalam kontrak untuk menjadi alasan sah pemecatan.

“Jika sikap neutral politik adalah penting bagi Tech Dome, syarat tersebut sepatutnya dinyatakan secara jelas dalam kontrak pekerjaan penuntut atau dalam kod etika,” katanya.

Shamsher Singh Thind mewakili Sivakumar dan Jason selaku peguam, manakala P Subramaniam mewakili Penang Tech Centre.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.