
Pengarahnya, Rohaizad Ali, serbuan di sebuah kontena di Pelabuhan Butterworth Utara (NBCT) serta sebuah lagi di Pelabuhan Klang pada April lepas turut membawa kepada penahanan tiga lelaki, termasuk seorang warga China.
“Dalam serbuan pertama, kita melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang berlabuh di NBCT dari China.
“Hasil pemeriksaan menemukan 14,200 unit peranti rokok elektronik dan 210 cecair vape tidak diikrarkan semasa pengimportan bersama-sama barang dagangan lain dianggarkan bernilai RM1.33 juta dengan jumlah duti RM205,400.
“Seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ejen dan lelaki warga China berusia lingkungan 30-an yang mengaku sebagai pengeksport barang dagangan tersebut telah ditahan,” katanya pada sidang media di Butterworth hari ini, lapor Bernama.
Menurutnya, dalam serbuan kedua pula pihaknya merampas 71,886 unit peranti rokok elektronik dan 786.5 liter cecair vape bernilai RM3.64 juta termasuk cukai selepas memeriksa sebuah lagi kontena.
“Seorang lelaki tempatan berperanan sebagai ejen ditahan dan siasatan lanjut ke atas kedua-dua kes dijalankan mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut menemukan 29 bungkusan daun ganja dalam sebuah bagasi yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Katanya, bagasi yang tidak mempunyai sebarang pengenalan itu ditemukan di Karusel Bagasi A oleh pegawai operasi Pejabat Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang (CPP) lapangan terbang berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 29 bungkusan plastik lut sinar mengandungi tumbuhan kering disyaki bunga ganja dianggarkan seberat 16,210 gram, dengan nilai pasaran RM1.5 juta.
“Dalam satu lagi kes berasingan, kita turut menemukan empat bungkusan tumbuhan kering disyaki bunga ganja seberat 2,236 gram bernilai RM219,128 di Pos Mel Kurier (PMK) Pos Malaysia Berhad,” katanya.
Menurutnya, ia diikrar sebagai sembilan unit ‘Comic Book’ yang telah dieksport ke United Kingdom (UK) dan kembali ke Malaysia dengan status sebagai ‘Returned Parcel’.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.