Generasi muda akan tolak ‘politik emosi’, Khaled ulas gabungan baharu Dr M

Generasi muda akan tolak ‘politik emosi’, Khaled ulas gabungan baharu Dr M

Naib Presiden Umno Khaled Nordin kata generasi muda tidak mudah terpedaya dengan politik emosi untuk raih kuasa.

Sentimentalisme tidak akan memenangkan bangsa Melayu dalam persaingan teknologi, tegas Naib Presiden Umno Khaled Nordin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno yakin generasi muda akan menolak permainan politik yang berasaskan emosi oleh pihak yang semata-mata mahu meraih kuasa.

Naib Presiden Khaled Nordin berkata generasi muda lebih bijak menilai dan tidak mudah terpedaya dengan ‘politik emosi’.

“Kita perlu berpolitik secara rasional dan bersandarkan kepada nilai terbaik,” katanya kepada FMT.

“Sentimentalisme tidak akan memenangkan kita dalam persaingan teknologi, tarif, kemajuan ilmu, mahupun perniagaan masa hadapan.”

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad semalam memperkenalkan Sekretariat Orang Melayu sebagai ‘payung besar’ untuk ‘menyelamatkan masa depan orang Melayu’ dari segi politik dan ekonomi.

Disertai parti pembangkang seperti Bersatu dan PAS, Mahathir turut ajak ahli Umno menyertai gabungan terbaharunya itu dalam usaha ‘mengembalikan kuasa Melayu’ dalam kerajaan.

Khaled bagaimanapun berkata ancaman terbesar dihadapi bangsa Melayu adalah mengenai pemikiran lapuk dan mundur segelintir pemimpinnya.

“Pemimpin Melayu tidak sedar generasi X, Y, Z dan Alpha telah muncul,” katanya.

“Mereka ini tidak dengan mudahnya terpedaya dengan politik emosi yang dibawa semata-mata untuk mendapatkan kuasa.”

Mengulas lanjut, Khaled berkata orang Melayu mesti memiliki ilmu, kemahiran dan kebolehsaingan untuk menjadi hebat, dihormati dan disegani.

“Kepada semua orang Melayu, tiada siapa yang akan mengusik hak dan kepentingan bangsa kita.

“Ia sudah termaktub dan terjamin sekian lama dalam Perlembagaan dan dilindungi oleh raja-raja Melayu yang bijaksana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.