Belum ada keputusan kerjasama PRN Sabah, kata GRS

Belum ada keputusan kerjasama PRN Sabah, kata GRS

Hajiji Noor berkata kenyataan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin bahawa kerjasama dengan GRS tidak akan berlaku hanyalah pendirian Umno Sabah semata-mata.

Hajiji Noor
Pengerusi GRS Hajiji Noor berkata Ahli Majlis Tertinggi akan bermesyuarat selepas Hari Raya Aidiladha. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum membuat keputusan berhubung sebarang kerjasama politik bagi menghadapi PRN akan datang, kata pengerusinya Hajiji Noor.

Memetik laporan Bernama, Hajiji berkata kenyataan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin bahawa kerjasama dengan GRS tidak akan berlaku hanyalah pendirian Umno Sabah semata-mata.

“GRS belum membuat apa-apa keputusan. Kami akan membincangkan dan memutuskan strategi pilihan raya, termasuk parti mana yang akan menjadi rakan kerjasama, dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS akan datang,” katanya.

Ketua menteri Sabah itu berkata mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS dijangka hanya akan diadakan selepas Aidiladha yang jatuh pada Sabtu ini.

“Banyak yang akan kita bincang kerana tidak lama lagi kita akan mengadakan pilihan raya umum negeri Sabah. Bukan sahaja soal siapa kawan kita bekerjasama (tetapi juga) agihan kerusi, pilih calon boleh menang, kempen, memperkuatkan jentera parti di setiap kawasan,” katanya.

Selasa lalu, Bung berkata Umno Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS pada PRN akan datang, sebaliknya hanya akan mempertimbang untuk membentuk kerjasama selepas keputusan pilihan raya diketahui.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah mengumumkan kerjasama untuk PRN Sabah, namun perbincangan dikatakan masih berjalan bagi menarik GRS menyertai gabungan itu.

GRS dan PH kini merupakan rakan dalam kerajaan negeri pimpinan Hajiji, manakala BN berada di blok pembangkang dalam DUN Sabah.

Pengerusi PH merangkap perdana menteri, Anwar Ibrahim sebelum ini menyuarakan keyakinan bahawa PH, BN dan GRS akan dapat mencapai persetujuan kerjasama bagi menghadapi PRN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.