
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa semalam mengumumkan pembangunan Kota Madani dengan keluasan 102 ekar di Putrajaya.
Majlis pecah tanah projek itu dijadual pada 26 Jun ini yang bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman untuk lebih 30,000 penduduk.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, berkata adalah lebih baik kerajaan menggunakan nama yang lestari dan tidak berubah untuk projek-projeknya, kerana nama itu akan kekal walaupun pentadbiran bertukar.
“Kerajaan perlu cari nama lain untuk projek Kota Madani. Amalan menggunakan slogan pentadbiran sebagai nama inisiatif kerajaan perlu dihentikan.
“Sebelum ini, kita melihat pelbagai inisiatif dijenamakan dengan slogan kerajaan semasa. Berapa banyak wang rakyat terpaksa dibazirkan apabila slogan kerajaan berubah dan pelabelan itu juga diubah?,” katanya dalam kenyataan.
Wan Saiful berkata sebarang dana yang digunakan perlu mencerminkan pemilikan merentasi fahaman politik.
“Apabila wang rakyat dibelanjakan, ia mesti mencerminkan pemilikan merentasi fahaman politik.
Antara slogan yang digunakan secara meluas oleh pentadbiran sebelum ini ialah 1Malaysia (Najib Razak), Kerajaan Prihatin (Muhyiddin Yassin) dan Keluarga Malaysia (Ismail Sabri Yaakob).