‘Top 2’ PAS: Majlis syura tak perlu tentukan dasar latar belakang calon, kata Hashim

‘Top 2’ PAS: Majlis syura tak perlu tentukan dasar latar belakang calon, kata Hashim

Mursyidul Am Hashim Jasin kata majlis syura tak perlu campur tangan untuk tentukan presiden dan timbalan mesti agamawan.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin kata beliau sokong seruan supaya jawatan presiden dan timbalan terus diamanahkan kepada tokoh berpendidikan agama.
PETALING JAYA:
Mursyidul am PAS berkata tidak ada keperluan untuk majlis syura ulama parti menentukan dasar mengenai latar belakang calon bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Ini kerana dalam pertandingan terbuka sekarang, individu-individu yang terpilih juga berlatarbelakangkan agama lantaran kecenderungan dalam kalangan ahli PAS, kata Hashim Jasin.

Bahkan, Hashim akui beliau antara yang terawal menyokong seruan supaya jawatan presiden dan timbalannya terus diamanahkan kepada tokoh berpendidikan agama.

“Perkara ini tidak penting sehingga syura kena menentukan mesti berdasarkan orang-orang agama untuk dipilih,” katanya kepada FMT.

“Kita buka luas kerana dalam PAS ini jawatan bukan rebutan,” tambahnya, menarik perhatian kepada ketiadaan kempen dalam kalangan calon sekalipun berlaku pertembungan.

“Semua orang tahu. Daripada dulu lagi. Berlaku pertembungan atau pertandingan tak ada kempen pun. Yang terbuka dipilih juga berlatarbelakangkan agama. Tak perlu syura menentukan dasar itu.”

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik, mencadangkan calon presiden dan timbalan presiden parti ditapis majlis syura ulama, untuk mengawal kualiti kelayakan bagi pemegang jawatan.

Cadangan itu di sebalik spekulasi jawatan presiden dan timbalan presiden PAS mungkin dipertandingkan buat kali pertama dalam pemilihan dijangka September ini.

Majlis syura tersebut diketuai oleh Hashim sendiri, dan turut dianggotai oleh penyandang jawatan presiden, Hadi Awang, dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam pada itu, Hashim berkata beliau sukacita melihat budaya pemilihan dalam PAS kerana tidak ada perebutan ‘seperti parti lain’.

“Kerana itu tak jadi masalah. Tak perlu syura campur tangan sehingga terpaksa ambil satu dasar tentukan presiden dan timbalan mesti daripada berlatar ulama dan agamawan.”

Pada 22 Mei lalu, Naib Presiden Amar Abdullah menyeru kepimpinan tertinggi PAS khususnya jawatan presiden dan timbalan wajar terus diamanahkan kepada tokoh berpendidikan agama, bagi memastikan kelangsungan perjuangan Islam dalam parti itu.

“Saya sokong pandangan ini,” tegas Hashim kepada FMT, bagi menjamin dasar-dasar parti ‘tidak terkeluar daripada agama’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.