
Dalam sidang media selepas keputusan hari ini, peguam Anwar, K Rajasegaran berkata mereka akan memfailkan rayuan serta-merta ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Rajasegaran berkata, lapan persoalan dikemukakan itu bukan bersifat abstrak atau akademik, sebaliknya membabitkan isu perlembagaan yang serius dan belum diselesaikan.
Beliau berkata, isu tersebut termasuk perlindungan terhadap fungsi eksekutif, risiko litigasi bermotifkan politik, dan skop Perkara 5(1), 8(1), 39, 40, dan 43 Perlembagaan Persekutuan.
“Kami juga akan memohon penangguhan prosiding perbicaraan bagi memelihara integriti proses rayuan dan memastikan defendan (Anwar) tidak terdedah kepada prosiding yang akhirnya mungkin didapati tidak dibenarkan oleh perlembagaan,” katanya.
Terdahulu, Hakim Roz Mawar Rozain berkata persoalan dikemukakan perdana menteri gagal melepasi ambang yang ditetapkan dalam Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Beliau berkata, tiada satu pun peruntukan yang dirujuk dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti dihujahkan oleh peguam defendan, menimbulkan sebarang persoalan undang-undang yang nyata, penting dan boleh diadili yang memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan.
Roz Mawar turut menyatakan, perbicaraan saman Yusoff Rawther akan bermula pada 9 pagi, 16 Jun seperti dijadualkan, selepas menolak permohonan seorang lagi peguam Anwar, Alan Wong, untuk penangguhan sementara menunggu rayuan.
Dalam permohonan difailkan oleh firma guaman yang baru dilantik, Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar menyatakan mahkamah tertinggi perlu memutuskan sama ada saman itu akan menjejaskan pelaksanaan tugas eksekutifnya secara berkesan dan melemahkan doktrin pengasingan kuasa yang termaktub dalam perlembagaan.
Pada pendengaran itu, peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Yusoff, memohon Roz Mawar menolak permohonan rujukan tersebut dengan alasan ia tidak mempunyai kaitan langsung dengan pertikaian sedang dibicarakan oleh mahkamah.
Beliau berkata, Perkara 43 Perlembagaan tidak secara jelas atau tersirat melindungi seorang perdana menteri yang sedang berkhidmat daripada sebarang saman.
Yusoff, cucu kepada aktivis pengguna Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris, mendakwa beliau diserang di rumah Anwar di Segambut pada Oktober 2018.
Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Anwar menafikan dakwaan itu dan memfailkan saman balas.
Terdahulu, Pejabat Peguam Negara pada 14 Jan 2020 memaklumkan pihaknya tidak akan membuat pendakwaan jenayah terhadap Anwar kerana kekurangan bukti dan percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.