Permohonan Muhyiddin rujuk isu Akta Hasutan didengar 28 Ogos

Permohonan Muhyiddin rujuk isu Akta Hasutan didengar 28 Ogos

Bekas perdana menteri itu memohon untuk merujuk persoalan undang-undang mengenai Akta Hasutan ke Mahkamah Persekutuan.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan semasa PRK Nenggiri di Gua Musang, Kelantan, tahun lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar permohonan Muhyiddin Yassin untuk merujuk persoalan undang-undang kepada mahkamah tertinggi mengenai kesahihan peruntukan tertentu di bawah Akta Hasutan pada 28 Ogos.

Bekas perdana menteri itu didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan semasa PRK Nenggiri di Gua Musang, Kelantan, tahun lalu.

Hakim Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam Joshua Tay, yang mewakili Muhyiddin, memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan dan pendakwaan telah bersetuju mengenai tarikh itu.

Mahkamah kemudian mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan mereka selewat-lewatnya 14 Ogos.

Timbalan Pendakwa Raya Razali Che Ani mewakili pendakwaan.

Muhyiddin didakwa berkata beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri berikutan PRU 2022, walaupun telah mendapat sokongan majoriti 115 ahli Parlimen.

Jika sabit kesalahan, pengerusi Perikatan Nasional dan presiden Bersatu itu akan berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000.

Muhyiddin pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang pada Ogos tahun lepas.

Pada 27 Nov, Hakim Azmi Abdullah membenarkan permohonannya untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.