
“Proses undang-undang akan diteruskan, dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi,” menurut kenyataan.
Beliau berkata demikian selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang yang timbul daripada saman sivil difailkan bekas pembantu penyelidiknya.
Terdahulu selepas keputusan hari ini, peguam Anwar, K Rajasegaran, pada sidang media mengumumkan mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan serta-merta.
Menurut Rajasegaran, lapan persoalan dikemukakan itu bukan bersifat abstrak atau akademik, sebaliknya membabitkan isu perlembagaan yang serius dan belum diselesaikan.
Katanya, isu tersebut termasuk perlindungan terhadap fungsi eksekutif, risiko litigasi bermotifkan politik, dan skop Perkara 5(1), 8(1), 39, 40, dan 43 Perlembagaan.
Dalam pada itu, Anwar berkata rayuan itu bukan mengenai mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelakkan semakan undang-undang.
Sebaliknya perkara itu berkaitan integriti sistem perlembagaan dan keperluan untuk memastikan jawatan awam tertinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin berlaku secara strategik, bermotifkan politik, atau mengganggu institusi.
Terdahulu, Hakim Roz Mawar Rozain berkata persoalan dikemukakan perdana menteri gagal melepasi ambang yang ditetapkan dalam Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman.
Beliau berkata tiada satu pun peruntukan yang dirujuk dalam Perlembagaan menimbulkan sebarang persoalan undang-undang yang nyata, penting dan boleh diadili yang memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan.