
Hakim Roz Mawar Rozain berkata persoalan yang dikemukakan oleh perdana menteri gagal melepasi ambang yang ditetapkan dalam Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Tiada satu pun peruntukan yang dirujuk dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti yang dihujahkan oleh peguam defendan, menimbulkan sebarang persoalan undang-undang yang nyata, substantif dan boleh diadili yang memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Roz Mawar berkata perbicaraan saman Yusoff Rawther akan bermula pada jam 9 pagi pada 16 Jun seperti dijadualkan, dan menolak permohonan peguam Anwar, Alan Wong, untuk penangguhan sementara menunggu rayuan.
“Maaf, saya terikat,” katanya sambil menambah bahawa Anwar boleh memfailkan permohonan penangguhan di Mahkamah Rayuan.
Roz Mawar turut memerintahkan Anwar membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Yusoff.
Perdana menteri mahu mahkamah tertinggi memutuskan sama ada Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikan beliau imuniti terhad daripada saman yang difailkan oleh Yusoff empat tahun lalu.
Saman tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar memegang jawatan pada 24 Nov 2022.
Dalam permohonan yang difailkan oleh firma guaman yang baru dilantik, Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar mahu mahkamah tertinggi memutuskan sama ada saman itu akan menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif dan melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.
Roz Mawar berkata: “Keputusan mahkamah mengenai keutamaan perlembagaan menuntut bahawa semua orang, termasuk pemegang jawatan awam, tertakluk secara sama rata kepada kedaulatan undang-undang.”
Beliau juga berkata bahawa Perkara 5 Perlembagaan hanya terhad kepada penahanan yang tidak sah dan kebebasan fizikal dan bahawa pendedahan kepada litigasi sivil tidak merupakan satu pelucutan kebebasan.
“Defendan (Anwar) kekal bebas dengan keupayaan undang-undang penuh serta jaminan prosedur yang tersedia,” katanya.
Berhubung Perkara 8(1), beliau berkata kesaksamaan di sisi undang-undang hanyalah perisai, bukan pedang untuk imuniti.
“Saman plaintif (Yusoff) mengikut prosedur dan undang-undang substantif yang standard dan terpakai kepada semua individu,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan hanya memperuntukkan kuasa eksekutif tetapi tidak memberikan imuniti peribadi.
Roz Mawar berkata berkata defendan mengesahkan kesediaan untuk meneruskan perbicaraan dan tiada bukti menunjukkan bahawa saman itu menjejaskan keupayaannya untuk melaksanakan tugas perlembagaan.
“Oleh itu, mahkamah ini mendapati tiada keadaan khas yang memerlukan penangguhan prosiding,” katanya.
Yusoff, cucu kepada aktivis pengguna Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris, mendakwa beliau telah diserang di rumah Anwar di Segambut pada Oktober 2018.
Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Anwar menafikan dakwaan tersebut dan memfailkan saman balas.
Terdahulu, Pejabat Peguam Negara pada 14 Jan 2020 memaklumkan pihaknya tidak akan membuat pendakwaan jenayah terhadap Anwar kerana kekurangan bukti dan percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Peguam Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie, Alan Wong, Shahir Tahir, K Rajasegaran, Kavyaasrini Mahendran, dan Amin Faisal Azam mewakili Anwar.
Yusoff pula diwakili peguam Rafique Rashid Ali, Nurmustanir Nor dan Amirul Ar-Rashid Azman.