
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata perjuangan dua pemimpin itu juga bertentangan ideologi PN, menyebabkan mustahil untuk melihat dua bekas menteri PKR memilih gabungan tersebut walaupun sedang ‘kecewa’.
“Rafizi dan Nik Nazmi tidak akan berminat untuk sertai parti lain selain PKR kerana saya tak nampak cara politik atau prinsip mereka selari dengan Bersatu apetah lagi PAS,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, kehadiran dua tokoh itu hanya akan menambah masalah kepada PN berbanding nilai tambah mungkin dibawa mereka.
“PN melihat nilai tambah yang akan dibawa oleh mereka tidaklah seberapa banyak dan mereka juga tidak begitu popular dalam kalangan akar umbi PKR…lebih kepada hanya menambah masalah kepada akar umbi berbanding nilai tambah yang boleh diberikan,” katanya.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata, ideologi serta perjuangan Rafizi dan Nik Nazmi lebih kepada masyarakat sivil, tidak sama dengan PN terutama PAS yang lebih kepada perjuangan menegakkan negara Islam dan mahu melaksanakan hukum hudud.
“Peluang untuk Rafizi dan Nik Nazmi sertai PN adalah kosong…kalau terjadi kedua-duanya tidak lagi relevan di pentas politik tanah air,” katanya.
Ahad lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata PN tiada rancangan menjemput Rafizi dan Nik Nazmi yang mengumumkan meletak jawatan sebagai menteri minggu lalu, susulan kekalahan pada pemilihan PKR, 23 Mei.
Namun, timbalan setiausaha agung PN itu berkata gabungan berkenaan tidak akan membantah jika mereka mahu bekerjasama dengan blok pembangkang di Parlimen.
Rafizi meletak jawatan menteri ekonomi manakala Nik Nazmi berundur daripada kedudukan menteri sumber asli dan kelestarian alam.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim belum membuat keputusan berhubung pendirian kedua-duanya meletak jawatan yang ketika ini sedang bercuti.
Mazlan berpandangan Rafizi dan Nik Nazmi tidak perlu mencari platform baharu untuk kekal relevan sebaliknya kekal istiqamah dalam PKR, dan pada masa sama berusaha memulihkan sokongan akar umbi.
“Kekalahan Rafizi sebagai timbalan presiden dan Nik Nazmi sebagai naib presiden tidak bermakna perjuangan mereka telah berakhir, mereka pemimpin masih muda dan harus kekal menyokong PKR.
“Tetapi jika mereka ambil tindakan mengkhianati PKR dan PH, dan menyertai pembangkang atau terus mengambil sikap mengkritik dan menyerang parti, ia akan menyebabkan peluang mereka pada masa depan tertutup,” katanya.