
Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Hashim Hamzah sekali gus membenarkan rayuan kerajaan, Majlis Angkatan Tentera dan dua lagi pihak.
Turut bersidang Hakim Wong Kian Kheong dan Ismail Brahim, menurut Berita Harian.
Ketika membacakan ringkasan penghakiman, Wong menekankan tindakan kerajaan dalam isu berkenaan adalah berlandaskan perbezaan yang munasabah dan tidak menyalahi Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan berkenaan kesamarataan.
“Perbezaan antara pesara sebelum 1 Jan 2013 (pesara pra-2013) dan selepas tarikh itu (pesara pasca-2013) adalah sah dari segi undang-undang kerana ia berpunca daripada pelaksanaan dua dokumen utama kerajaan, iaitu Garis Panduan Pelaksanaan Pindaan Syarat Perkhidmatan ATM bertarikh 17 Jan 2013 (CPI) dan Surat Pelaksanaan Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum-Maksimum (JJMM).
“Kedua-dua dokumen bukanlah pelarasan gaji untuk pesara, sebaliknya pindaan kepada syarat-syarat perkhidmatan bagi anggota ATM yang masih berkhidmat. Objektifnya adalah untuk menambah baik dan menyeragamkan skim gaji anggota yang sedang berkhidmat, bukan untuk mendiskriminasikan pesara.
“Dalam kes ini, tidak ada layanan yang tidak sama antara pesara pra-2013 dengan pesara pasca-2013 kerana pelarasan pencen juga tidak diberikan kepada pesara pasca-2013,” katanya.
Hakim itu berkata, terdapat pengelasan yang munasabah (intelligible differential) antara kedua-dua kategori pesara dan ia mempunyai pertalian (nexus) yang jelas dengan objektif pelaksanaan dasar berkenaan.
“Persoalan kehakiman terkhilaf di sisi undang-undang apabila memutuskan wujud diskriminasi yang tidak berperlembagaan. Keputusan kerajaan adalah munasabah,” katanya.
Dengan keputusan itu, mahkamah membenarkan rayuan dikemukakan kerajaan dan membatalkan keputusan terdahulu yang berpihak kepada kumpulan pesara.
Sementara itu, Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang ditemui di perkarangan mahkamah, berkata pihaknya akan mengkaji dan meneliti alasan penghakiman bertulis sebelum menentukan langkah seterusnya.
“Dalam kes ini, tahap yang lebih tinggi adalah Mahkamah Persekutuan. Tapi untuk ke sana, kita perlu memfailkan dan memperolehi kebenaran untuk merayu,” katanya.
Katanya, sama ada pihaknya akan membuat rayuan atau tidak, ia tertakluk kepada kajian, selidikan dan nasihat akan diberi berpandukan kepada alasan penghakiman.
Kerajaan, perdana menteri, menteri pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera Malaysia sebelum ini merayu keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepada 50 pesara ATM yang menyaman mereka berhubung pelarasan pencen bagi pesara yang bersara sebelum 1 Jan 2013.
Pada 5 Feb tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Suzana Muhammad Said memutuskan semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013 berhak menerima pelarasan pencen mengikut kadar dan kaedah digunakan untuk pesara yang bersara selepas tarikh tersebut.