
Menteri Besar Amirudin Shari berkata ia bagi memastikan keputusan yang bakal dibuat kerajaan negeri tidak membebankan pengusaha dan pekerja, di samping mengetepikan kepentingan kesihatan awam.
“Pengusaha-pengusaha ini juga ada pekerja dan sebagainya, tetapi macam mana saya sebut prioriti kita adalah kesihatan awam dan juga kepada masyarakat terutamanya generasi muda. Kita bimbang ada kesan-kesan lain seperti penyalahgunaan perisa mushroom atau ganja dikesan walaupun jumlahnya agak kecil.
“Justeru, satu kawalan akan dilaksanakan dan pihak Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaludin sedang menyiapkan kertas kerja dan masih meneliti lagi kertas kerja itu,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan ‘e-bike’ kepada polis di IPK Selangor.
Beliau berkata segala pandangan membabitkan isu berkenaan sedang dikonkritkan bagi memastikan pelaksanaan garis panduan dasar itu menyeluruh.
“Kalau di sesetengah negeri macam di Pantai Timur, dia tidak ada jiran yang dekat macam Selangor berdekatan dengan Kuala Lumpur.
“…maknanya kalau kita larang penjualan di sini, mereka masih boleh membeli di Kuala Lumpur, kalau Ampang dalam 15 minit mereka boleh sampai. Jadi, itu juga kita akan dilihat secara keseluruhan,” katanya.