Siasatan karikatur badut, Razman harap pemimpin DAP tak diberi ‘imuniti’

Siasatan karikatur badut, Razman harap pemimpin DAP tak diberi ‘imuniti’

Ketua pembangkang Perak berkata exco negeri Woo Kah Leong enggan mohon maaf walaupun selepas dimintanya.

razman zakaria n Woo Kah Leong
Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria desak exco Perak yang juga Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong letak jawatan susulan siasatan karikatur papar dirinya seperti badut.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria berharap tiada ‘imuniti’ diberikan kepada Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong yang disiasat berkait hantaran media sosial memaparkan karikaturnya berimej badut.

Adun Gunong Semanggol itu berkata beliau sudah meminta exco Perak itu memohon maaf, namun tiada permohonan diterima, sebaliknya DAP terus mempertahankan pula tindakan tidak wajar itu.

Menurutnya, tidak mustahil perkara itu boleh menyebabkan kerajaan Perak ditunjangi Umno bersama Pakatan Harapan (PH) akan ditolak rakyat pada pilihan raya akan datang.

“Buat pemimpin kerajaan Perak ditunjangi Umno, suka atau tidak inilah kualiti yang ada pada exco daripada DAP ini.

“Letak sahajalah jawatan exco jika anda bermaruah kerana rakyat akan sentiasa menilai dengan apa yang berlaku akibat daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini.

“Tidak mustahil disebabkan hal ini kalian akan ditolak oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, polis merakam keterangan Woo berhubung siasatan terhadap hantaran berunsur provokatif di media sosial miliknya terhadap Razman, yang dimuat naik di media sosial pada 10 April lalu.

Sebelum ini, Razman menuntut exco perdagangan dalam negeri, hal ehwal pengguna dan Kampung Baru Cina itu memohon maaf secara terbuka dalam sidang DUN, namun beliau mempertahankan tindakannya dengan menyifatkan paparan karikatur tersebut sebagai satu kaedah sindiran berdasarkan fakta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.